Kementerian Kerja Raya akan membina struktur pelindung (rock shed) di kawasan cerun yang berisiko tinggi berlakunya kejadian tanah runtuh bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, setakat ini terdapat 44 kawasan cerun yang dikenal pasti untuk pembinaan struktur pelindung itu.

"Antara kawasan itu ialah di Kilometer 42, Jalan Simpang Pulai – Cameron Highland yang sedang diperbaiki cerunnya. Setakat ini dua kawasan cerun telah dibina dengan struktur pelindung iaitu di Terengganu dan Seksyen 46 Laluan Persekutuan 185, Jalan Simpang Pulai - Blue Valley.

"Struktur pelindung kawasan cerun Seksyen 46 Laluan Persekutuan 185, Jalan Simpang Pulai ini sudah 99 peratus siap dan cuma perlu dilengkapi dengan pencahayaan lampu, sistem amaran dan papan-papan tanda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelepasan struktur pelindung kerja-kerja pembinaan semula cerun di Laluan FT 185, Seksyen 46.0, Jalan Simpang Pulai - Blue Valley di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Rosnah meminta pemilik tanah di kawasan cerun yang berisiko berlakunya kejadian tanah runtuh supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelak kejadian tanah runtuh yang boleh mengancam keselamatan orang ramai.

"Pemilik dan tuan-tuan tanah mempunyai tanggungjawab dan mereka perlu mengutamakan keselamatan orang ramai. Sebarang kegiatan yang hendak dijalankan perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran pihak PBT,” ujarnya.

Struktur Pelindung (Rod Shed) Laluan FT 185 Seksyen 46.0. Jalan Simpang Pulau – Blue Valley sepanjang 344 meter dengan kemudahan dua lorong dua hala menelan kos lebih RM22 juta.

Ia mula dibina pada 29 Januari 2015 dan siap pada awal Januari 2017.

Laluan FT 185 merupakan antara jalan utama yang menghubungkan Simpang Pulai - Gua Musang - Kuala Berang, Terengganu.