Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap lima kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun termasuk mencabul seorang daripadanya di sebuah pusat tahfiz di sini sejak tahun lalu.

Tertuduh Uji Che Mat, 43, dan suaminya Mohd Zamzuri Abdul Manap, 42 tahun, masing-masing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Uji berdepan dengan tujuh pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap lima kanak-kanak termasuk mencabul seorang daripadanya manakala Mohd. Zamzuri berdepan lima pertuduhan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut sejak Januari 2017 hingga Ogos lalu di Ribath Tahfiz Asyirazi di Tok Sira, Jalan Tengku Muhammad, Kuantan.

Mengikut kertas pertuduhan, Uji didakwa menganiaya seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dengan cara menyalakan pemetik api pada kemaluan mangsa dan mengacukan gunting pokok berulang kali sambil menggugut mahu memotong kemaluannya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Selain itu, dia juga didakwa mencabul kehormatan mangsa yang sama pada tempat dan masa yang sama dengan cara memegang dan menarik kemaluan mangsa.

Bagi kesalahan itu, didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Uji dan Mohd Zamzuri didakwa bersama-sama atas empat pertuduhan menganiaya empat kanak-kanak yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun di bawah jagaan mereka dengan cara merotan berulang kali sehingga mereka mengalami kecederaan fizikal.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd. Nazari dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. Hakim menetapkan kedua-dua tertuduh membayar jaminan yang keseluruhannya berjumlah RM45,000 dan 4 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes itu.