Hasrat sepasang suami isteri untuk mendapat 'kekayaan segera' akhirnya tidak kesampaian apabila kedua-duanya kantoi memiliki 42 paket berisi dadah syabu seberat 2.137 kilogram dalam serbuan di Labuan, Selasa lalu.

Dalam serbuan jam 9.30 pagi itu, kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an dikatakan menyorokkan dadah bernilai RM108,000 itu di dalam dua beg yang dibawa mereka.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, hasil pemeriksaan ke atas dua beg tersebut, polis menemukan beberapa bungkusan jenama kopi dan minuman segera yang mengandungi bungkusan plastik berisi 42 paket syabu.

"Semasa operasi tersebut pihak polis telah melihat seorang lelaki dan seorang perempuan di laluan pejalan kaki pasar buah-buahan di kawasan pasar lama Labuan.

"Ketika itu dilihat seorang lelaki sedang membimbit sebuah beg kain berwarna ungu, suspek kemudiannya ditahan untuk pemeriksaan, semasa pemeriksaan dijalankan kedua-dua suspek hanya mendiamkan diri.

"Hasil daripada pemeriksaan dalam beg kain yang dibawa oleh suspek terdapat satu bungkusan Alicafe kopi pra campuran 5 dalam 1, satu bungkusan jenama Sabah Borneo Cafe 3 in 1, satu bungkusan jenama Maltreose Chocolate 3 in 1, dan setiap bungkusan terdapat bungkusan yang didalamnya mengandungi paket-paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kota Kinabalu, pada Khamis.

Mengulas lanjut mengenai kes itu, Omar berkata, siasatan awal mendapati dadah syabu berkenaan dibawa masuk ke Labuan dari Kota Kinabalu dengan menggunakan perkhidmatan bot laju.

Jelasnya, kedua-dua suspek yang berasal dari Telipok, Manggatal itu juga dipercayai terlibat dengan rangkaian sindiket penyeludupan dadah yang dikehendaki di Sabah.

"Hasil soal siasat yang didapati keatas kedua suspek merupakan warga tempatan berumur dalam lingkungan awal 20-an dan merupakan pasangan suami isteri dan mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula daripada hari ditangkap sehingga 12hb Feb untuk siasatan lanjut.

"Hasil daripada soal siasat juga yang dijalankan kedua suspek yang mendedahkan kesemua dadah ini dalah untuk tujuan pasaran tempatan daerah Labuan yang dibawa masuk daripada daerah Kota Kinabalu menggunakan bot laju.

"Kita masih lagi menjalankan siasatan selanjutnya dan bedasarkan risikan, tangkapan ini mempunyai rangkaian sindiket yang sedang dijejaki oleh pihak JSJN Kontinjen Sabah," katanya.

Omar menambah, kejayaan kes rampasan dan tangkapan berkenaan merupakan yang terbesar setakat ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.