Tutup

Suami isteri guna 19 kanak-kanak, remaja sebagai peminta sedekah

Suami isteri guna 19 kanak-kanak, remaja sebagai peminta sedekah
Hukuman penjara itu bermula dari tarikh ditangkap pada 7 Mei tahun lalu dan tempoh itu ditambah 28 bulan lagi sekiranya tertuduh gagal membayar denda. - Astro AWANI/ Nazialita Geynna Maharan
IPOH: Sepasang suami isteri masing-masing dihukum penjara 15 bulan dan denda RM28,000 setelah mengaku bersalah mempergunakan 19 kanak-kanak dan remaja sebagai peminta sedekah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu

Kedua-dua tertuduh, mengaku bersalah terhadap 28 pertuduhan yang dikenakan melibatkan kegiatan mereka sekitar dua tahun lepas.
Muslim Ab. Karim, 67 tahun dan isterinya, Zaleha Mohamad, 55 tahun didakwa menyebabkan 19 kanak-kanak dan remaja berusia lingkungan 11 hingga 17 tahun untuk menerima sedekah dengan menawarkan jualan ubat herba gel dan kalendar.

Kedua-dua mereka juga diarahkan menjalani program khidmat masyarakat selama 100 jam yang akan dipantau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di lokasi berhampiran tempat tinggal mereka sebaik hukuman penjara selesai.
Perbuatan tersebut dilakukan antara pukul 8 malam hingga 1.45 pagi, pada 7 dan 8 Oktober 2016, 9 November 2016 serta 13 dan 14 Mac 2017.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di kawasan CIMB Bank Taiping, Jalan Panggung Wayang, Taiping; Maybank Jalan Medan Saujana 1, Medan Saujana Kamunting; Kemaman Kopitiam, Lorong Tun Ismail 1, Kuantan, Pahang; dan CIMB Bank Bandar Raub Perdana, Raub, Pahang.

Selain itu, kegiatan itu juga dilakukan di  Persiaran Greentown Business 6, Greentown Business Centre, Ipoh di sini dan Bank Islam, Jalan Mahmood, Kota Bharu, di  Kelantan.

Hakim Murtazadi Amran memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh ditangkap pada 7 Mei tahun lalu dan tempoh itu ditambah 28 bulan lagi sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Beliau membuat keputusan itu selepas meneliti serta berpuas hati dengan semua keterangan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes berkenaan.

Murtazadi selepas menjatuhkan hukuman berkata, beliau memandang serius perbuatan jenayah dilakukan kedua-dua tertuduh kerana membabitkan isu kanak-kanak dan masyarakat sangat tidak menyukai perkara sedemikian.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM20,000 atau dipenjarakan untuk tempoh maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, serta diarahkan menjalani program khidmat masyarakat.

Pasangan itu turut dituduh mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Murtazadi bagaimanapun membebaskan mereka daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan bersetuju memindanya dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas, Jaizah Jaafar Sidek dan Nadia Zulkefli manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam, Zamri Idrus.

Terdahulu, Zamri dalam rayuan memohon supaya mahkamah mempertimbangkan hukuman minimum selepas mengambil kira pengakuan salah tertuduh atas semua pertuduhan pilihan dikemukakan, usia kedua-duanya sudah lanjut dan kesalahan pertama mereka, selain menjimatkan masa mahkamah.

Bagaimanapun, Mohamad Abazafree memohon supaya mahkamah memberi hukuman setimpal kerana perbuatan dilakukan itu serius, serta mahkamah perlu menjalankan tugas meletakkan perasaan masyarakat terhadap perilaku membiarkan kanak-kanak mengemis dan meminta sedekah.