Sepasang suami isteri maut, manakala dua anak mereka cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terbabas lalu jatuh ke dalam gaung di Kilometer 1, Jalan Jiwa Murni Nanga Mujong dekat sini petang tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang Rabu itu, Guntur Dampa, 43, dan isterinya Lucy Bekeh, 38, yang memandu kenderaan jenis Toyota Hilux maut selepas tercampak keluar dari kenderaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapit, Erwandy Tugor berkata, pasangan suami isteri tersebut disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan ambulan Hospital Kapit di tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pihak bomba mendapati Guntur ditemui tercampak lebih kurang 10 meter dari kenderaan manakala isterinya ditemui berhampiran kenderaan yang terbabas jatuh ke gaung anggaran kedalaman 60 meter serta mempunyai anggaran kecerunan 75 darjah," katanya ketika dihubungi malam ini.

Katanya, dua anak mangsa yang berada di tempat duduk belakang terselamat.

"Kedua-dua anak lelaki mereka iaitu Eldickson Linggong, 16, mengalami cedera ringgan manakala Rizky Renggan, 8 tidak mengalami sebarang kecederaan," jelasnya.

Setiba di lokasi kejadian, pihak bomba telah menggunakan peralatan menyelamat tali bersama ‘stretcher’ dengan kaedah ‘sistem takal dan tali’ bagi menaikkan kedua-dua mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Freddy Bian ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati keluarga itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah Badin Mujong dari pekan Kapit apabila berlaku nahas itu.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan pacuan empat roda itu hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan sebelum terjatuh ke dalam gaung," katanya.

Freddy menambah, kes disiasat di bawah Sesyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Difahamkan, anak lelaki kedua-dua mangsa telah menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan polis dan bomba.