Suami mengaku buat panggilan palsu agar ditangkap khalwat dengan isteri

Suami mengaku buat panggilan palsu agar ditangkap khalwat dengan isteri
Suami isteri buat panggilan palsu kepada Jawi supaya ditahan khalwat dan bertindak menyaman jabatan berkenaan.-gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengaku bersalah membuat panggilan aduan palsu kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sehingga membawa kepada tindakan tangkapan khalwat melibatkan dirinya dan isterinya.

Pengarah Jawi, Abdul Aziz Jusoh, berkata, ‘drama’ itu dibuat pada Januari tahun lalu apabila Mohd Ridhuan Giman, membuat panggilan telefon kepada Pegawai Penguatkuasa Agama melaporkan bahawa telah berlaku satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Khalwat) dan memohon tangkapan segera dilakukan.

Sedangkan, pasangan yang diadu itu adalah dia dan isterinya sendiri dan ‘drama’ tersebut berlangsung sehingga suami isteri berkenaan memfailkan saman terhadap Pegawai Penguatkuasa Jawi kerana didakwa telah menangkap mereka yakni pasangan suami isteri yang sah dan bukan pasangan khalwat.
“Berdasarkan kejadian di atas, siasatan dilakukan dan mendapati bahawa panggilan yang dibuat tersebut adalah dari tertuduh sendiri. Justeru, laporan polis dibuat berkenaan Aduan Palsu, Seksyen 182 Kanun Kesiksaan.

“Kes tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Majistret 7, Jalan Duta, Kuala Lumpur dan tertuduh telah mengaku bersalah di atas pertuduhan tersebut dan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM1500 atau empat (4) bulan penjara.

“Tertuduh tersebut sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Syariah di bawah 1 pertuduhan bagi kesalahan berkaitan “Menghina atau disebabkan dipandang hina, dan lain-lain Agama Islam (Seksyen 7(c)), dan 2 pertuduhan lain bagi kesalahan “Memberikan Keterangan, maklumat atau pernyataan palsu (Seksyen 30 (1)), Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Manakala isterinya turut didakwa bagi kesalahan “Penyubahatan” di bawah seksyen 43 (c) dibaca bersama seksyen 7 (c) akta yang sama. Kedua-dua tertuduh akan menghadapi perbicaraan kes ini pada 3 April akan datang di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Abdul Aziz berkata, rentetan perjalanan kes berkenaan terbukti bahawa segala yang dilakukan oleh kedua-dua tertuduh ke atas Pegawai Penguatkuasa Agama Jawi merupakan suatu tohmahan dan strategi terancang pihak-pihak tertentu untuk merosakkan dan menjatuhkan reputasi penguat kuasa dan institusi agama.

“Justeru, Jawi mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Pendakwa Raya yang telah mengendalikan kes ini dan masyarakat yang sentiasa mengamalkan konsep ‘tabayyun’ sebelum mempercayai maklumat dan  sebaran yang tular di media-media sosial,” katanya.