Suarakan pandangan Orang Asli - Dr Mahathir

Suarakan pandangan Orang Asli - Dr Mahathir
Dr Mahathir berkata ia sekali gus memberi Kerajaan peluang membincangkan perkara yang mungkin dahulu diketepikan kerana agak sulit dan kompleks. -Gambar Astro Awani / Shahir Omar
PUTRAJAYA: Pemimpin Orang Asli diminta menyuarakan pendapat dan pandangan untuk program, dasar dan polisi yang bertujuan menjayakan masyarakat mereka.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ia sekali gus memberi Kerajaan peluang membincangkan perkara yang mungkin dahulu diketepikan kerana agak sulit dan kompleks.

"Jika konvensyen ini dapat bersidang dengan telus saya juga yakin perasaan percaya-mempercayai di antara pihak Kerajaan dan masyarakat Orang Asli dapat kita perteguhkan.
"Ingin juga saya nyatakan di sini, bahawa setiap gerak kerja dan usaha pembangunan yang sedang dilaksana dan akan dilaksana oleh Kerajaan adalah sejajar dengan Pendekatan Berasaskan Hak Asasi Manusia (PBHAM).

"Pendekatan ini bertujuan untuk memastikan setiap program pembangunan dan kebajikan yang dirancang akan memberi faedah kepada masyarakat Orang Asli dengan tidak mengenepikan kepentingan dan memelihara perkara-perkara asas berkaitan mereka melalui prinsip berasaskan Makluman Awal, Bebas dan Telus (IMABT)," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, pada Isnin.

Konvensyen itu bertujuan untuk membincangkan dan membahas mengenai isu-isu utama berkaitan masyarakat Orang Asli seperti tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastuktur dan kebudayaan.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan kini telah menyediakan kemudahan jalan kampung sebanyak 84 peratus, bekalan elektrik (80 peratus), bekalan air (79 peratus) dan sebanyak 82 peratus Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) daripada keseluruhan 853 buah perkampungan Orang Asli yang berdaftar di seluruh Semenanjung.

Jelas Dr Mahathir, Kerajaan juga berusaha untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli melalui program-program yang diintegrasikan bersama projek ekonomi sedia ada melalui latihan dan bimbingan bertujuan membangunkan eko-pelancongan atau agro-pelancongan Orang Asli.