Kerajaan Selangor menyifatkan cadangan menjadikan Subang hab aeroangkasa bertaraf dunia, sebagai langkah tepat dalam memperkenalkan negeri itu di peringkat antarabangsa.

Menteri Besarnya, Amirudin Shari, berkata cadangan itu juga selari dengan matlamat kerajaan negeri berikutan Subang adalah kawasan yang aktif dengan pembangunan bidang berkaitan aeroangkasa.

"Di Subang sememangnya terdapat pembabitan banyak syarikat tempatan dan asing yang beroperasi di negara ini dalam industri berkaitan aeroangkasa.

"Menerusi cadangan kerajaan persekutuan itu, kita percaya, ia bukan sahaja bakal menyuntik pembangunan ekonomi Selangor ke arah lebih positif tetapi turut memperkenalkan nama Selangor amnya ke peringkat global," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Selangor Agrofest di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur Dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim.

Amirudin berkata demikian ketika mengulas mengenai Belanjawan 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, pada Jumaat.

Dalam Belanjawan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengumumkan cadangan kerajaan Persekutuan membangunkan tanah seluas 80 hektar di Subang sebagai hab aeroangkasa bertaraf dunia.

Amirudin berkata, menerusi usaha itu juga, pihaknya berharap Subang akan terus menjadi tumpuan syarikat berkaitan, termasuk dalam aspek menyelenggara, membaiki dan membaik pulih pesawat.

Sementara itu, mengulas cadangan kerajaan Persekutuan menjadikan tanah seluas 153 hektar di Pulau Indah sebagai Zon Perdagangan Bebas, beliau berkata, ia dilihat sebagai platform terbaik dalam memacu ekonomi Selangor menjadi lebih mampan.

"Ini inisiatif yang baik dalam menarik lebih ramai pelabur, kita yakin usaha ini akan menyuntik perkembangan ekonomi di negeri ini," tambahnya.

-- BERNAMA