Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersetuju menyediakan subsidi kepada majikan yang menjalankan ujian COVID-19 terhadap pekerja menerusi perluasan skop Program Saringan Prihatin (PSP) berkuat kuasa hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, majikan dibenarkan membuat tuntutan subsidi RM150 bagi setiap saringan COVID-19 yang telah dijalankan ke atas pekerja mereka yang mencarum dengan Perkeso.

"Program subsidi ini akan menggunakan peruntukan dana sebanyak RM200 juta yang telah diluluskan Perkeso sebelum ini.

"Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Kerja Raya bersetuju supaya skop PSP Perkeso diperluaskan dengan menambah bilangan penyedia perkhidmatan saringan COVID-19," katanya.

Oleh itu, majikan boleh menghantar pekerja menjalani saringan di mana-mana klinik atau hospital yang diluluskan oleh KKM.

Savaranan berkata, di bawah program subsidi ini, pekerja asing dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan di Selangor dan Kuala Lumpur akan diberi keutamaan untuk menjalani ujian saringan COVID-19.

"Ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk menjalankan saringan secara bersasar supaya rantaian penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan," tambahnya.

Saravanan berkata bagi pekerja yang tidak termasuk dalam golongan sasar tersebut, kos saringan perlu ditanggung majikan sebagai kesinambungan kepada usaha pencegahan jangkitan COVID-19 dalam kalangan semua pekerja di negara ini.

Beliau berkata, prosedur program subsidi tersebut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui Portal Prihatin https://prihatin.perkeso.gov.my yang disediakan Perkeso.