Gara-gara cuba mengelak daripada ditahan polis, seorang lelaki ditembak di bahagian tangan selepas cuba merempuh anggota polis di Jalan Ipoh, Jinjang, di sini pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah, pihaknya menerima maklumat pada pukul 6.30 petang berkenaan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di lokasi kejadian yang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda CX-5.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis telah pergi ke lokasi kejadian dan terserempak dengan suspek sebelum menunjukkan kad kuasa.

Bagaimanapun suspek tiba-tiba memecut kenderaan yang dipandunya ke jalan mati sebelum tayar kereta tersebut ditembak polis.

Suspek terus bertindak mengundur kenderaan dengan laju sehingga hampir melanggar dua anggota polis di belakang yang sempat mengelak.

Anggota di lokasi bagaimanapun menjerit 'polis' sebanyak enam kali namun tidak diendahkan suspek yang cuba merempuh dengan kenderaan tersebut, sebelum merempuh sebuah lagi kenderaan lain jenis Perodua Myvi di kawasan itu.

Salah seorang anggota polis di tempat kejadian bertindak melepaskan tembakan ke arah kenderaan suspek dan terkena tangan kanan lelaki terbabit.

Suspek ditahan sebelum dihantar ke hospital berhampiran untuk dirawat.

Siasatan awal mendapati suspek berusia 30-an itu mempunyai 11 rekod jenayah lampau dan dikehendaki polis.

Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.

Kenderaan yang dinaiki suspek juga merupakan kenderaan curi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam.