Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berpandangan bahawa sudah sampai masanya untuk Biro Tatanegara (BTN) dimansuhkan.

Menurut Ketua Pemuda Harapan itu, matlamat dan etika BTN yang masih dalam kerangka Perang Dingin dilihat bersifat berat sebelah dan boleh merosakkan perpaduan antara rakyat Malaysia.

“Terdapat pelbagai cara yang lebih baik dan efektif untuk memupuk nilai patriotisme, termasuk dalam kalangan golongan muda.

“Kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum baru-baru ini telah pun menunjukkan bahawa pelbagai usaha telah diambil untuk menjadikan anak muda Malaysia mempunyai harapan dan bersikap lebih optimis mengenai masa depan, serta bersemangat untuk berkhidmat untuk negara yang jauh lebih berkesan daripada apa yang dilakukan oleh BTN.

“Buat penjawat awam yang ingin terus berkhidmat di bawah agensi tersebut demi Malaysia Baharu yang demokratik, berbilang kaum dan majmuk, mereka boleh ditempatkan semula ke perbadanan kerajaan yang lain mengikut peraturan biasa perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Nik Nazmi dalam kenyataannya turut mengimbau kembali penyertaan beliau dalam kem tersebut sebagai peserta beberapa tahun lalu.

Berdasarkan pengalaman itu, beliau merasakan bahawa keseluruhan agenda yang terdapat dalam BTN bersifat perkauman dan politik.

“Pada pandangan saya, tujuan kem itu seolah-olah untuk menghasut orang Melayu untuk menentang rakyat Malaysia yang berbangsa dan beragama lain, menyerang parti pembangkang dan mengagung-agungkan parti yang memerintah pada masa itu.

“Terlampau banyak laporan mengenai penggunaan retorik itu dalam acar BTN untuk perkara tersebut dilihat sebagai insiden terpencil,” tambahnya.