Sukan air ada potensi besar untuk dikembangkan - Anwar

Sukan air ada potensi besar untuk dikembangkan - Anwar
Menurut Anwar, pantai di Port Dickson mesti dipelihara dan dijadikan tempat riadah dan kita di sini harus meningkatkan usaha menambah sukan air. - Gambar hiasan
PORT DICKSON: Sukan air mempunyai potensi yang besar untuk dikembangkan di negara ini dan setiap pihak perlu memberi galakan dan bantuan supaya hasrat itu dapat dicapai, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata lebih banyak aktiviti sukan air perlu diadakan dan Malaysia perlu mencontohi Australia yang muncul sebagai negara sukan air.

"Pantai di Port Dickson mesti dipelihara dan dijadikan tempat riadah dan kita di sini harus meningkatkan usaha menambah sukan air.
"Saya percaya sukan air patut diberi perhatian dan galakan kerana bukan sahaja ia baik untuk kesihatan tetapi juga membentuk disiplin," katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Persatuan Kanu Negeri Sembilan (Nesca) di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Nesca Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin.

Sementara itu Megat D.Shahriman berkata Nesca bercadang membangunkan pusat kecemerlangan sukan kanu yang terbaik di Malaysia khususnya di Port Dickson, selain melengkapkan peralatan dan jurulatih terbaik untuk peserta dan atlet sukan kanu di negeri ini.

"Kami akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran negeri untuk mengenal pasti lokasi khususnya sungai-sungai di negeri ini sebagai tempat beriadah dan pertandingan berprestasi tinggi untuk sukan kanu.

"Kami juga akan bersama-sama dengan Majlis Sukan Negeri bagi melahirkan atlet sukan kanu yang berprestasi tinggi dan meletakkan sasaran tiga pingat emas dalam Sukan Malaysia 2020," katanya.

-- BERNAMA

Tag: port dickson, sukan air, anwar ibrahim, pelancongan, riadah, rekreasi, sukan


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.