Meskipun prosedur operasi standard (SOP) untuk pembukaan semula taman asuhan kanak-kanak (taska) sangat ketat, kerajaan yakin dapat membuat pemantauan berkesan disebabkan mereka berdaftar.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui, keadaan agak berbeza bagi pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar dengan jabatan kerajaan.

Justeru, beliau menyeru pemilik pusat terbabit atau taska persendirian yang tidak berdaftar supaya berbuat demikian walaupun bilangan kanak-kanak jagaan sedikit.

“Kalau taska berdaftar (tiada masalah) kerana SOP memang ketat bagi menjaga keselamatan anak-anak. Tapi untuk yang tidak berdaftar ini, pemantauan agak sukar untuk pastikan mereka patuhi SOP.

“Selain segera daftar, saya juga mohon mereka muat turun SOP tersebut melalui laman web kementerian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya mereka boleh lihat apa SOP yang dikeluarkan bagi menjaga kepentingan anak-anak.

“Tapi yang paling penting, lebih elok kalau mereka mendaftarkan pusat jagaan itu,” katanya dalam sidang media harian di sini pada Khamis.

Dalam sidang media sama, Ismail Sabri juga menegaskan tidak wajar sekolah persendirian mengutip yuran walaupun pada kadar separuh daripada ibu bapa pada waktu ini.

Tegas beliau, sekiranya perkhidmatan tidak diberikan maka tidak seharusnya bayaran juga diminta.

“Seperti bas sekolah, saya kasihan kerana apabila pelajar tiada, mereka tidak boleh hantar anak ke sekolah. Kita beritahu pengusaha bas perkara ini dan mereka setuju tak boleh kutip tambang sebab anak tidak pergi ke sekolah.

“Mungkin sekolah hadapi masalah kewangan tapi sekolah kena faham ibu bapa juga turut hadapi masalah kewangan. Saya harap sekolah-sekolah seperti ini tidak mengambil peluang untuk memaksa ibu bapa membayar yuran walaupun anak mereka tidak bersekolah.

“Selagi sekolah tidak dibuka, saya harap tiada sekolah kutip bayaran daripada pelajar,” katanya.