Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah yang mengadakan lawatan tiga hari ke Malaysia bermula semalam diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya hari ini.

Ketibaan baginda dan Permaisuri Raja Isteri Pengiran Anak Saleha kira-kira jam 11 pagi disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor, menteri-menteri kabinet dan delegasi asing.

Sejurus ketibaan baginda, lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Sultan Hassanal Bolkiah kemudiannya memeriksa kawalan kehormat daripada 107 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Antara anggota kabinet yang hadir pada majlis sambutan rasmi itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Shahidan Kassim dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Perdana Menteri dan Sultan Hassanal Bolkiah kemudiannya menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) mengenai pembangunan teknologi hijau antara kerajaan Malaysia dan Brunei.

MOU ditandatangani Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili dan rakan sejawatannya dari Brunei, Datuk Seri Dr Mohammad Yasmin Umar.

Perdana Menteri dan isteri turut meraikan Sultan Hassanal Bolkiah dalam satu majlis santapan tengah hari sempena Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam kali ke-20 yang menyentuh pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa.

Brunei sebelum ini menjadi Tuan Rumah bagi Rundingan Tahunan ke-19 di Bandar Seri Begawan pada 11 Ogos 2015.

Rundingan Tahunan itu diadakan berselang seli antara kedua-dua buah negara.

Lawatan Sultan Brunei ini juga penting dalam usaha memupuk dan mengukuhkan lagi kerjasama yang telah sekian lama terjalin antara Malaysia dan Brunei.