Tutup

Sultan Brunei yakin kewibawaan, kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah terajui negara

Sultan Brunei yakin kewibawaan, kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah terajui negara
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (duduk, kanan) berkenan menghayati titah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah pada Majlis Santapan Malam Negara di Istana Nurul Iman, Isnin malam. - Foto BERNAMA
BANDAR SERI BEGAWAN: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bertitah menzahirkan keyakinan baginda terhadap kewibawaan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerajui Malaysia.

Sultan Hassanal bertitah Seri Paduka akan sentiasa dihormati dan dikasihi serta mampu menerajui pemerintahan yang cemerlang berkat usaha Sultan Abdullah yang terus-menerus menitikberatkan kebajikan serta memelihara perpaduan rakyat.

Sultan Hassanal berharap semangat persaudaraan dan persahabatan yang rapat dan mesra antara kedua-dua negara akan sentiasa berterusan.
"Malaysia adalah merupakan antara rakan niaga terbesar bagi Negara Brunei Darussalam yang sudah setentunya akan terus menyumbang kepada pertumbuhan bersama ekonomi negara kita masing-masing.

"Melalui hubungan yang akrab ini, kita telah menikmati rangkaian kerjasama yang berterusan di pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pertahanan, keselamatan dan pendidikan demi kepentingan bersama," titah Sultan Hassanal pada Majlis Persantapan Diraja di Dewan Santapan Utama Istana Nurul Iman, di sini, Isnin malam.

Majlis itu bersempena Lawatan Negara Pertama selama tiga hari Sultan Abdullah ke Brunei sejak baginda ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.
Sultan Hassanal berharap semangat persaudaraan dan persahabatan yang rapat dan mesra antara kedua-dua negara akan berterusan.

Sultan Brunei turut merakamkan penghargaan kepada kira-kira 20 ribu rakyat Malaysia di negara itu yang menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Brunei.

Sultan Hassanal bertitah sebagai negara Nusantara Melayu yang berkongsi tamadun, institusi beraja, budaya, bahasa dan agama, perlu bagi kedua-dua negara itu memelihara dan pertahan daripada terhakis oleh pengaruh sosiobudaya asing terutamanya dalam dunia tanpa sempadan.

-- BERNAMA