Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan melantik Anakanda baginda Mejar Jeneral Tunku Ismail, Tunku Mahkota Johor sebagai Pemangku Raja Johor.

Dalam satu catatan di laman Facebook rasmi Sultan Johor, Baginda Tuanku memaklumkan majlis itu berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, pagi tadi.


“DYAM Pemangku Raja telah diberikan kepercayaan oleh DYMM Sultan Johor untuk menjalankan tugas dan mentadbir Negeri Johor serta mempunyai semua kuasa yang diperuntukkan kepada Raja dan boleh digunakan pada bila-bila masa,” menurut catatan itu lagi.

Sebagai rekod, pelantikan atas nasihat Jumaah Majlis Diraja itu dilakukan selari dengan Fasal 9 (1)(c) dan (3) Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Bagaimanapun tidak dinyatakan mengapa perlantikan itu diperkenankan Baginda Tuanku, kerana kelazimannya sebelum ini, Pemangku Raja hanya dilantik apabila Sultan Johor berada di luar jajahan takluknya.