Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat menghadiri majlis bacaan Yasin dan tahlil sempena hari ke-40 kemangkatan anakanda baginda, Almarhum Tunku Abdul Jalil, malam tadi.

Turut berangkat ke majlis di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu ialah Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Majlis berkenaan dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti bacaan Yasin dan tahlil sebelum diteruskan dengan solat Isyak berjemaah.

Almarhum Tunku Abdul Jalil yang mangkat pada usia 25 tahun 5 Disember lepas di Hospital Sultanah Aminah di sini akibat kanser hati, merupakan anakanda keempat Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah.

Almarhum yang dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah di sini, dilaporkan mengikuti kursus Inspektor Percubaan selama sembilan bulan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) ketika berusia 21 tahun dan menamatkan latihan pada 2012.

Almarhum menyertai pasukan polis dan mengikuti latihan sebagai pegawai selama setahun dan seterusnya menjalani kursus latihan Unit Tindakan Khas (UTK) di kolej teknikal di Muar.

Pada Oktober lepas, Almarhum dilantik sebagai Ketua Turus Pengelola Diraja Istana Johor.