Tindakan seorang ahli politik DAP yang dipercayai memasuki masjid untuk tujuan politik mengundang murka Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dalam satu kenyataan menerusi laman rasmi www.royaljohor.com.my, Sultan Ibrahim bertitah, dengan kedudukan sebagai ketua agama Islam di Johor, baginda tidak apologetik untuk mengambil pendirian bahawa semua aktiviti ahli politik di masjid dan surau di negeri itu perlu dihentikan.

“Demi menjamin kesucian, ketertinggian agama Islam dan maruah serta martabat umat Islam, keharmonian, perpaduan dan kesatuan di antara pelbagai kaum dan agama dapat terus dinikmati oleh Bangsa Johor, semua aktiviti ahli politik di masjid dan surau di Negeri Johor Darul Ta’zim hendaklah segera dihentikan dan pencabulan yang telah berlaku tidak boleh berulang lagi,” titah baginda.

Sultan Ibrahim juga bertitah, masih terdapat kecenderungan untuk pentadbiran masjid dan surau membenarkan ahli politik terus menjadikan masjid sebagai tempat aktiviti mereka.


“Saya dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor telah beberapa kali membuat peringatan tegas kepada pentadbiran masjid dan surau di dalam Negeri Johor untuk melarang mana-mana ahli politik dan individu yang berasaskan parti politik dari menggunakan masjid dan surau di Negeri Johor sebagai tempat aktiviti mereka,” titah baginda.

“Insaf dan sedarlah semua pihak sebagai Bangsa Johor, kita hendaklah mematuhi cara hidup, budaya, etika, disiplin, dan adab mulia yang menjadi amalan di Negeri Johor Darul Ta’zim zaman berzaman.

Meskipun tidak menyebut sebarang nama dalam kenyataan tersebut, ia dipercayai merujuk kepada insiden Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong yang memasuki ruang solat utama di Masjid Tenang Stesen dan menjalankan aktivitinya pada 10 Mei lalu.

Siri gambar Pang yang telah dikongsi di laman Facebooknya kemudian menjadi tular dan dia didakwa memberi ucapan politik di situ.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan, Pang mempertahankan dirinya dengan mendakwa dirinya tidak membangkitkan sebarang isu politik semasa di masjid berkenaan, sebaliknya mahu menyerahkan bantuan kepada masjid dan surau dalam kawasan berkenaan sempena Ramadan.