Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, pada Selasa menitahkan agar tarikh penangguhan solat Jumaat, solat berjemaah dan aktiviti di masjid serta surau di negeri ini, dilanjutkan sehingga 28 April depan, bagi mengekang penularan COVID-19.

Penangguhan itu termasuk solat sunat terawih dan aktiviti lazim memasak bubur lambuk di masjid menjelang Ramadan, selaras dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang dilanjutkan sehingga 28 April.

Keputusan melanjutkan penangguhan itu diputuskan dalam pertemuan dengan Mufti Negeri, Datuk Yahya Ahmad, di Istana Pasir Pelangi di sini, pada Selasa.

"Hanya tiga orang pegawai masjid yang dibenar melaksanakan laungan azan dan pelaksanaan solat berjemaah lima waktu dan solat terawih di masjid, iaitu imam, bilal, dan noja (bertanggungjawab menjaga kebersihan).

"Bagi menghidupkan syiar Ramadan, institusi berkenaan dibenarkan untuk menggunakan alat pembesar suara bagi bacaan ayat suci al-Quran 10 minit sebelum azan Maghrib, selain bacaan al-Quran serta tarhim 15 minit sebelum subuh," titah baginda yang dimuat naik di Facebook rasmi baginda, hari ini.

Pada masa sama, Sultan Ibrahim turut menasihati pasangan yang berhasrat mendirikan rumah tangga supaya bersabar dan menangguhkan dahulu majlis akad nikah, selain tidak berkumpul beramai-ramai di kediaman. -BERNAMA.