Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah malam semalam berkenan mencemar duli berangkat menziarahi jenazah dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas pesawat pejuang Hawk 108, di Chukai, Terengganu pada Khamis.

Walaupun dalam keuzuran, baginda yang juga Kolonel Yang Dipertua TUDM tetap berangkat ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan keadaan berkerusi roda dan meluangkan masa lebih sejam bertemu anggota keluarga kedua-dua mangsa.

Ketibaan baginda pada 10 malam disambut Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang sebelum itu tiba lebih awal.

Tengku Abdullah yang ditemui selepas itu merakamkan ucapan takziah bagi pihak ayahanda baginda dan seluruh keluarga yang berasa amat dukacita dengan nahas berkenaan.

"Saya bagi pihak paduka ayahanda dan keluarga saya berasa amat sedih dan begitu dukacita.

"Harus bersabarlah (kepada) keluarga Allahyarham Mejar Asri dan Mejar Yazmi dan kita harap Allah akan memberkati kedua-dua wira negara yang mana sanggup membuat latihan dalam bulan puasa.

"Ini satu kehilangan kepada tentera udara dan dan negara namun Allah lebih sayang kepada mereka," ujar Tengku Abdullah.

Suasana di pekarangan Unit Forensik dipenuhi dengan anggota tentera dan kaum keluarga kedua-dua juruterbang berkenaan sejak petang semalam dan lengang seketika semasa masuk waktu berbuka puasa.

Namun, lokasi itu kembali dipenuhi kaum keluarga kedua-dua mangsa pada 9 malam dengan kehadiran ibu bapa kedua-dua mangsa berkenaan.

Suasana tenang bertukar hiba apabila anak sulung Yazmi, Mikhail Adam Riaz, 11 tahun, tidak dapat menahan rasa sebak mengenangkan kejadian yang menimpa ayahnya itu menjelang ketibaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Ia menyebabkan Tunku Azizah yang tersentuh hati dengan keadaan itu beberapa kali memujuk dan memeluk Mikhail bagi menenangkannya.

Jasad kedua-dua juruterbang berkenaan ditemui pada jarak 20 meter antara satu sama lain dalam keadaan lengkap berpayung terjun di kawasan hutan berpaya berhampiran Chukai, Kemaman kira-kira 53 kilometer dari Pangkalan TUDM, Kuantan.

Mangsa yang berkhidmat untuk pasukan nombor 6 Skuadron Pangkalan Udara Labuan, sebelum itu dilaporkan terputus hubungan pada 11.30 pagi sejurus selepas berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan pada pukul 11 pagi.