Tutup

Sultan Selangor titah syarikat korporat tunai zakat kepada LZS

Sultan Selangor titah syarikat korporat tunai zakat kepada LZS
Sultan Sharafuddin menasihatkan LZS jalankan fungsinya dengan baik, telus dan berdedikasi supaya kepercayaan rakyat akan bertambah. Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan supaya syarikat korporat yang wajib membayar zakat di negeri ini berbuat demikian kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Baginda bertitah, rukun Islam keempat itu bertujuan membantu individu yang miskin di negeri ini dengan pendapatan RM2,000 ke bawah.

“Aktiviti kutipan zakat yang dibuat oleh pihak tidak bertauliah adalah salah di sisi undang-undang dan boleh dikenakan denda serta penjara.

“Oleh itu, adalah wajib bagi individu Muslim dan syarikat korporat yang beroperasi di Selangor mengeluarkan zakat kepada LZS dan bukan kepada institusi lain yang tidak diberi kuasa untuk mengutip serta mengagihkan zakat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Round Table Khas Syarikat Korporat Bersama DYMM Sultan Selangor anjuran LZS yang berlangsung secara tertutup di Hotel Concorde, pada Rabu.

Sultan Sharafuddin turut menasihatkan LZS menjalankan fungsinya dengan baik, telus dan berdedikasi supaya kepercayaan rakyat akan bertambah.
“Alhamdulillah, jumlah kutipan zakat di Selangor bertambah setiap tahun. Oleh yang demikian, beta berkenan supaya LZS sentiasa telus dalam memberitahu kepada masyarakat berhubung jumlah kutipan dan agihan zakat yang dilakukan.

“Beta sentiasa mengikuti perkembangan LZS dan agihan zakat kepada mereka yang berhak,” titah baginda.