Sultanah Maliha Tengku Ariff hari ini dimasyhurkan sebagai Sultanah Kedah pada istiadat pemasyhuran penuh tradisi di Balairung Seri, Istana Anak Bukit di sini hari ini.

Watikah pemasyhuran itu dibacakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di hadapan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Sultanah Maliha kemudian berkenan melakukan istiadat menjunjung duli ke atas Sultan Sallehuddin di atas singgahsana sambil diiringi tembakan meriam 21 das.

Pada istiadat pemasyhuran itu, Sultan Kedah turut berkenan mengurniakan Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin (SSSK) kepada Sultanah Maliha.

Turut berangkat ke istiadat pemasyhuran itu Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah bersama Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff serta Tunku Laksamana Kedah Datuk Tunku Shazuddin Ariff.

Antara kerabat Diraja lain yang turut berangkat sama ialah Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Toh Puan Bendahara Kedah Puan Seri Nora Abdullah serta Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Sultanah Maliha diputerikan pada 13 April 1949 di Kota Bharu, Kelantan dan merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Saint Mary, Sentul dan seterusnya Sekolah Rendah dan Menengah Assunta di Petaling Jaya ketika ayahanda baginda Tengku Sri Jaya Diraja Tengku Ariff Tengku Long Abdul Rahman berkhidmat di KLM, syarikat penerbangan Belanda.

Ayahanda baginda merupakan anakanda saudara Sultan Kelantan yang ke-27 Almarhum Sultan Yahya Petra.

Pada 1960, Sultanah Maliha sekeluarga berangkat pulang dan bersemayam di Kota Bharu, Kelantan kerana pada waktu itu ayahanda baginda diperkenankan untuk bertugas sebagai juruiring kepada Almarhum Sultan Yahya Petra.

Sekembalinya di Kota Bharu, Sultanah Maliha mendapatkan pendidikan di Sekolah Menengah Sultanah Zainab Kota Bharu dan sangat aktif dalam pelbagai aktiviti di peringkat sekolah seperti sukan hoki dan mengambil bahagian dalam persatuan perbahasan di sekolah.

Kepetahan bertutur dalam bahasa Inggeris memberi peluang kepada Sultanah Maliha untuk mewakili sekolah dalam pertandingan debat.

Pada 26 Nov 1965, baginda melangsungkan perkahwinan dengan Sultan Sallehuddin yang pada ketika itu bertugas sebagai pegawai tentera di Kem Batalion 2 Rejimen Askar Melayu Diraja Pengkalan Chepa, Kelantan.

-- BERNAMA