Tutup

Sumber air Orang Asli tercemar akibat pembalakan

Sumber air Orang Asli tercemar akibat pembalakan
Penduduk mendakwa air tadahan mereka tercemar ekoran pembalakan haram di Hutan Simpan Kuala Krau. - Foto Astro AWANI / Tan Su Lin
TEMERLOH: Ekoran aktiviti pembalakan haram di Hutan Simpan Kuala Krau, di sini, beberapa perkampungan orang asli kini berdepan masalah air berikutan kawasan tadahan air yang tercemar.

Kira-kira 800 penduduk orang asli dari Kampung Pian dan Kampung Kuala Terbol mengadu air yang digunakan daripada sistem graviti air bukit, keruh dan tidak selamat diminum.
Bagi meninjau keadaan sebenar, kami ditemani beberapa NGO termasuk Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) dan orang asli meredah Hutan Simpan Kuala Krau untuk ke sumber tadahan air dalam Program Selamatkan Khazanah Alam dan Tadahan Air Komuniti Penduduk Kampung Terbol.

Selepas kira-kira sejam perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Kuala Krau, kami sampai ke lokasi pertama iaitu Sungai Genui yang membekalkan air kepada kedua Kampung Pian dan Kuala Terbol.
Apa yang kami nampak, air sungai itu kelihatan begitu keruh dan cetek.

Sumber air Orang Asli tercemar akibat pembalakan
Menurut salah seorang penduduk Kampung Pian, Budiman Lip, 45, penduduk tiada pilihan kecuali terpaksa menggunakan air berkenaan untuk kehidupan seharian.

"Keadaan air memang tidak boleh pakai langsung tetapi penduduk tiada pilihan lain dah. Kita terpaksa guna untuk basuh pinggan dan sebagainya, tetapi minum tidak boleh, masak pun tidak boleh.

"Kalau hujan, air menjadi lebih keruh. Jika minum, mesti akan cirit-birit," katanya.

Penduduk mendakwa air tadahan mereka tercemar ekoran pembalakan haram di Hutan Simpan Kuala Krau.

Susulan itu, pihak berkuasa telah merampas kira-kira 3,000 tan balak haram.

Tinjauan kami ke lokasi pembalakan mendapati, kira-kira 80 hektar daripada kawasan hutan simpan berkenaan yang berkeluasan kira-kira 63,000 hektar diterokai.

Sebelum ini, Astro AWANI turut melaporkan mengenai pembalakan haram dan balak bernilai jutaan ringgit yang disita oleh kerajaan negeri Pahang di hutan simpan itu.


Berdasarkan pemerhatian kami di matau balak haram, antara saiz diameter kayu yang disita adalah berukuran kira-kira satu depa, barangkali berusia lebih 100 tahun.

Namun ia ditebang, dek kerakusan manusia.

Kami seterusnya ke lokasi tadahan air lain yang masih 'jernih' dan berfungsi.

Foto Astro AWANI / Tan Su Lin
Kira-kira 50 meter daripada sungai berkenaan, terletak pagar penghadang yang didirikan orang asli.

Perkataan tertera pada papan di pagar berkenaan adalah: "Jangan ceroboh tanah adat kami sumpit."

Menurut Pengerusi AJK Bertindak Wilayah Tanah Adat Orang Asli Kuala Terbol, Theeze Bin Mohamad, penduduk kampung bergotong-royong membina pagar berkenaan bagi mengelak pencerobohan berterusan di tanah adat mereka.

"Setakat ini kami berjaya menyekat aktiviti pembalakan daripada mereka masuk ke tempat mereka ingin teroka. Kami bina pagar ini supaya tiada pembalak yang masuk ke kawasan ini dan setakat ini kami berjaya menghalang sebarang aktiviti pembalakan," katanya.

Foto Astro AWANI / Tan Su Lin
Persoalannya, berapa lama sekatan berkenaan dapat menghalang aktiviti pembalakan?

Hakikatnya, pencerobohan di tanah adat, nyata mencabuli hak orang asli kepada tanah dan air bersih.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hak Orang Asli Majlis Peguam (COAR) Hon Kai Ping, orang asli mempunyai hak bukan sahaja ke atas tanah adat tetapi juga segala hasil hutan termasuk sumber air di tanah warisan nenek moyang mereka.

"Majlis Peguam berpendapat hak orang asli mempunyai hak di bawah Perlembagaan Fasal 8 untuk hidup termasuk sumber-sumber hutan dan air juga," katanya.

Ujarnya lagi, penduduk orang asli boleh membawa perkara itu ke mahkamah bagi mempertahankan hak mereka itu.

"Ini merupakan tanah adat mereka. Jadi memang tanah mereka sendiri. Mahkamah sebelum ini telah nampak dalam kes-kes terdahulu bahawa mmg mereka mempunyai hak ke atas tanah itu. Bukan hanya segala hasil atas tanah termasuk air," katanya ketika turut serta meninjau lokasi tadahan air.

Foto Astro AWANI / Tan Su Lin
Penyelidik lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meor Razak Meor Abdul Rahman mendakwa aktiviti pembalakan bukan hanya menjejaskan ekosistem Hutan Simpan Kuala Krau tetapi juga kawasan rizab hidupan liar.

"Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, pembalakan haram di Hutan Simpan Kuala Krau telah memasuki kawasan Rizab Hidupan Liar Krau (Tambahan) yang terletak bersempadan dengan hutan simpan berkenaan. Anggaran keluasan yang dibalak secara haram ialah kira-kira 80 hektar. Pemerhatian mendapati wujud kelemahan pemantauan daripada pihak berkuasa yang berkenaan," katanya.

Sama ada, pembalakan haram atau tidak, Pengerusi PEKA Pahang, Khaidir Ahmad melihat, kawasan tadahan air perlu dipelihara bagi menjamin kesejahteraan penduduk.

"Di pihak PEKA, kami minta mana-mana kawasan yang ada tadahan air penduduk jangan disentuh langsung. Biarpun tidak diwartakan, ia perlu dikekalkan sebagai tadahan air semulajdi," katanya.


Bagi orang asli, mereka membantah pembalakan di hutan simpan, kerana inilah satu-satunya sumber tadahan air mereka.

Harapan mereka adalah supaya kawasan tadahan sedia ada dipelihara demi masa depan anak cucu mereka.