Sungai Lembing: Bandar mati hidup semula (Bahagian 1)

Sungai Lembing: Bandar mati hidup semula (Bahagian 1)
Kekayaan daripada hasil perut bumi Sungai Lembing melimpah ruah sehingga bandar ini digelar "El Dorado of Asia."
SEJARAH peradaban dunia tidak pernah lekang dengan kisah kegemilangan dan kemusnahan bandar-bandar yang dahulunya pernah menjadi pusat tarikan komersial, pentadbiran dan budaya yang penting.

Bandar-bandar ini menjadi tumpuan kerana kekayaan sumber aslinya seperti emas dan bijih timah.

Namun, akibat kegawatan ekonomi dan kejatuhan nilai sumber asli, bandar-bandar ini terus diabai penduduk yang dahulu bergantung kepada hasilnya, menyebabkan ia sepi seperti bandar mati.

Sungai Lembing yang terletak di daerah Kuantan, Pahang adalah antara lokasi yang tersenarai sebagai bandar mati.

Tetapi, tidak ramai yang tahu bahawa seawal tahun 1888, Sungai Lembing ialah kawasan perlombongan bijih timah kedua terbesar dunia selepas Bolivia.

Sungai Lembing ialah kawasan perlombongan bijih timah kedua terbesar dunia selepas Bolivia.
Limpahan bijih timah pada waktu itu menarik kemasukan pelombong dari China, dan kemudiannya British yang mengaut keuntungan jutaan ringgit daripada perusahaan ini.

Industri perlombongan di Sungai Lembing ketika itu meraih manfaat daripada 12 lombong bijih timah bawah tanah yang boleh memuatkan sekitar 3,000 pelombong pada satu-satu masa.
Industri ini menjadi maju setelah syarikat perlombongan British, Pahang Consolidated Company Limited (PCCL) mengambil alih perusahaan bijih timah daripada kaum Cina dan membawa masuk pelbagai pembangunan yang membantu ekonomi tempatan seperti pusat komersial bebas cukai dan pusat pentadbiran.

Sungai Lembing merupakan pusat komersial yang begitu maju sehingga panggung wayang pertama di Asia dan hospital pertama di negeri Pahang juga dibina di sana.

Di zaman kegemilangannya pada pertengahan era 1900, pelombong di Sungai Lembing boleh membawa pulang hasil sehingga RM3,000 sebulan.

Susulan itu, ramai dalam kalangan rakyat tempatan berhijrah ke Sungai Lembing untuk mencari rezeki demi kehidupan lebih selesa di sana.

Di zaman kegemilangannya pada pertengahan era 1900, pelombong di Sungai Lembing boleh membawa pulang hasil sehingga RM3,000 sebulan.
Kekayaan daripada hasil perut bumi Sungai Lembing melimpah ruah sehingga bandar ini digelar "El Dorado of Asia."

Namun, zaman kegemilangan bandar yang satu ketika dahulu menjadi buah mulut orang ramai pula berubah menjadi sebaliknya.

Akibat kejatuhan harga timah di awal 1980-an, syarikat PCCL gulung tikar. 

Kilang-kilang bijih, rumah-rumah agam yang didiami pemilik lombong berbangsa Inggeris ditinggalkan begitu sahaja.

Pelombong pula dibiarkan terpinga-pinga tanpa arah tuju.

Mengikut legenda tempatan, sewaktu kegawatan ekonomi itu, 20 pelombong yang terdesak telah melombong secara haram di salah sebuah lombong yang dikenali sebagai Tai Pei Tong.

Dengan hanya berbekalkan seluar pendek dan topi keselamatan, mereka berjaya mengorek bijih timah setiap malam dengan nilai lebih RM3,000 sehari sehingga mencecah RM1 juta.

Kegiatan mereka berjaya dihidu pihak berkuasa, namun identiti pelombong tersebut dan timah bernilai RM1 juta itu kekal misteri sehingga ke hari ini.

Industri perlombongan di Sungai Lembing ketika itu meraih manfaat daripada 12 lombong bijih timah bawah tanah yang boleh memuatkan sekitar 3,000 pelombong pada satu-satu masa.
Pencari rezeki beransur-ansur meninggalkan Sungai Lembing yang kian sepi. Tiada lagi bunyi hentakan tukul besi menghentam batu membongkah bijih timah.

Lombong dan bangunan yang tinggal pula hampir musnah dimamah usia. Pelbagai barangan berharga menjadi mangsa penjarah; besi landasan dan gerabak kereta api juga tidak terkecuali.

Panggung wayang dan pusat komersial terbiar tidak dihuni diambil alih orang tempatan dengan membuka gerai makanan. 

Keadaan pekan lubuk rezeki yang semakin suram itu memaksa penghijrahan anak muda ke bandar-bandar lain.

Sungai Lembing kini kosong, hanya didiami golongan tua yang kebanyakannya bekas pekerja lombong.

GALERI FOTO


Artikel ini ialah bahagian pertama Laporan Khas oleh wartawan Astro AWANI Nuradilla Noorazam yang berkunjung ke Sungai Lembing bagi meninjau kehidupan penduduk pasca era kegemilangan perlombongan bijih timah.

Dalam bahagian kedua laporan, penulis cuba menyelami kisah suka duka penduduk yang masih menetap di pekan kecil ini dan kebangkitan Sungai Lembing yang boleh menjadi teladan kepada bandar-bandar 'mati' lain di seluruh negara yang pernah berkongsi nasib sama.



BACA: Sungai Lembing: Bandar mati hidup semula (Bahagian 2)