Seorang Ahli Parlimen mencadangkan kerajaan mengambil contoh pendekatan dilakukan Singapura berhubung pengambilan suntikan vaksin.

Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) berkata di negara jiran itu, ibu bapa dikenakan saman jika tidak memvaksinkan anak mereka.

"Selain itu, bagi mereka yang berkeluarga dan ingin memohon pas kunjungan jangka panjang ke Singapura harus juga menunjukkan bukti anak mereka telah menerima suntikan vaksin. Ini untuk menjaga kebajikan anak dan komuniti negara itu secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung titah kasih diraja pada persidangan Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan meminda undang-undang sedia ada dan memperkenalkan undang-undang mandatori supaya suntikan vaksin diwajibkan.

Beliau turut menekankan kepentingan untuk memberi penerangan kepada masyarakat mengenai keperluan vaksin yang bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa anak sendiri tetapi juga orang lain serta mengekang penyakit berjangkit seperti difteria dan demam campak sehingga boleh menyebabkan kematian.

Sidang dewan disambung Khamis.

-- BERNAMA