Tidak seperti hari-hari bekerja yang lain, suasana sunyi dan lengang adalah perkataan jelas untuk menggambarkan situasi di tengah ibu kota Kuala Lumpur.

Tinjauan Astro AWANI sejak pagi tadi mendapati kebanyakan premis perniagaan ditutup.

Namun, beberapa restoran dan rangkaian makanan segera masih dibuka, namun hanya untuk dibawa pulang, tiada lagi gelak tawa sambil menjamu selera.

Apa yang paling terkesan di saat ini adalah pelancong asing. Mereka yang telah berada di sini sejak beberapa hari yang lalu memustuskan untuk memendekkan percutian mereka, langsung pulang ke tanah air.

Suasana lengang jelas kelihatan di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur apabila kebanyakkan premis perniagaan ditutup. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Kane Thompson, 27, yang berasal dari Sydney, Australia misalnya, tiba di Kuala Lumpur sejak dua hari yang lalu.

Namun, dia yang bercuti bersama teman wanitanya membatalkan hasrat mereka untuk terus melancong dan membeli-belah di negara ini.

“Sangat menjejaskan aktiviti kami. Kami di sini untuk lima hari. Kami telah berada di sini untuk dua hari. Kami rancang untuk ke Thailand pada Sabtu.

“Tapi saya tak fikir akan ke sana. Kami rancang untuk balik terus ke Sydney, Australia,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di ibu negara hari ini.

Tambahnya, situasi di Thailand juga amat mengelirukan, sama ada mereka masih boleh akses ke sana ataupun tidak.

“Jadi saya rancang untuk balik ke hotel buat masa ini, hubungi Thailand sama ada kami bnoleh masuk atau tidak. Saya tak rasa mereka (Thailand) kenakan sekatan ketika ini.

“Jika tidak kami akan pulang terus ke Australia secepat mungkin sebab saya sendiri tidak tahu situasi di sempadan ketika ini sama ada kami boleh pulang atau tidak, sangat mengelirukan,” katanya lagi.

Pusat membeli belah, Sogo yang cukup popular dalam kalangan pelancong asing turut ditutup. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Perkara sama turut dilalui oleh dua rakan karib dari Bangladesh, Rasel Sarker dan Rabiullah.

Hanya keluar mencari makanan dan keperluan, selainnya menghabiskan masa di bilik hotel.

“Saya rancang hari ini untuk berjalan sekitar Kuala Lumpur. Tapi situasi di sini amat sukar untuk kami berjalan di mana-mana.

“Sebab itu saya hanya beli makanan dan makan di hotel. Itu sahaja,” katanya.

Walaupun mengakui situasi itu sedikit sebanyak menjejaskan sektor pelancongan, namun mereka terima keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan demi kebaikan rakyat Malaysia serta para pelancong yang lain.

Tidak banyak mobiliti kenderaan di sekitar Lebuhraya MEX sama ada menuju ke Putrajaya atau ke Kuala Lumpur. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR