Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengeluarkan surat amaran kepada 75 agensi yang masih belum lagi mendaftar sebagai ahli Persatuan Polis Bantuan Malaysia (MAPA).

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata setiap agensi yang telah diluluskan permit atau kebenaran menubuhkan polis bantuan perlu menjadi ahli MAPA.

"Tujuan MAPA ditubuhkan adalah untuk menyuarakan permasalahan yang dialami polis bantuan untuk disalurkan kepada pihak polis.

"Pihak MAPA merupakan perantaraan antara agensi dan polis boleh menyalurkan apa-apa perkara berkenaan kepada polis bantuan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Polis Bantuan Malaysia kali ke-31 di sini, pada Selasa.

Sehingga kini, 256 agensi yang diluluskan penubuhan polis bantuan telah mendaftar sebagai ahli MAPA.

Sementara itu pada sidang media sebelah petangnya, Rosli berkata PDRM akan melakukan pemeriksaan dan audit secara berperingkat terhadap 256 agensi atau syarikat yang mempunyai lesen penubuhan polis bantuan, berikutan 31,471 jawatan dalam pasukan itu belum diisi, walaupun permit telah diluluskan lama.

"Kita mahu agensi-agensi ini memberi alasan munasabah mengenai kekosongan itu. Sebelum memohon lesen atau permit penubuhan polis bantuan, pihak agensi atau syarikat perlu melihat kekuatan yang diperlukan.

"Kita juga mendapati ada agensi atau syarikat langsung tidak membuat pengisian terhadap penjawatan itu. Tindakan pembatalan lesen mungkin akan dilakukan jika alasan diberikan tidak munasabah," katanya.

Beliau berkata sehingga kini hanya 29,793 daripada 61,264 penjawatan itu telah diisi.

"Justeru, saya mahu kekosongan itu diisi dengan segera kerana Polis bantuan banyak membantu polis dalam menangani jenayah di kawasan operasi yang telah dibenarkan untuk mereka," katanya.

Terdahulu Rosli dalam ucapannya di majlis berkenaan Rosli berkata polis bantuan terbukti berjaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Beliau berkata kehadiran polis bantuan di sesebuah agensi bukan sahaja berperanan menjaga keselamatan aset milik majikan tetapi juga mewujudkan rasa selamat dan meningkatkan keyakinan masyarakat setempat.

-- BERNAMA