Tutup

"Surat itu palsu" - Khairy jawab dakwaan tulis surat mohon bahas isu peralihan kuasa PM

"Surat itu palsu" - Khairy jawab dakwaan tulis surat mohon bahas isu peralihan kuasa PM
Inilah surat palsu kononnya ditulis oleh Khairy yang diterima oleh pejabat Setiausaha Parlimen.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menegaskan, penyebaran surat kononnya ditulis oleh beliau untuk membawa usul persendirian membahaskan isu peralihan kuasa Perdana Menteri di Dewan Rakyat adalah palsu.

Dalam entri InstaStory di laman Instagram peribadinya, Khairy berkata, surat berkenaan diterima oleh pentadbiran Parlimen tanpa disahkan oleh beliau secara peribadi.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga menjelaskan, surat palsu berkenaan menggunakan kepala surat yang bukan seperti yang digunakan oleh beliau sejak 2008.

"Saya tidak pernah menggunakan kepala surat beserta nama saya YB Tuan Khairy," kata Khairy lagi.
Khairy juga dalam catatan itu memohon maaf kerana lambat memberi penjelasan mengenai laporan penyebaran surat palsu itu memandangkan beliau kini berada di luar negara.

Khairy Jamaluddin tampil menjelaskan dakwaan beliau menulis surat mohon bahas isu peralihan jawatan Perdana Menteri di laman Instagram peribadinya.


Pada tengah hari Jumaat, sepucuk surat bertarikh 20 November tular di media sosial selain diterima oleh wartawan mendakwa Khairy mengusulkan untuk membahas isu peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Surat berkenaan dihantar kepada Setiausaha Parlimen, Datuk Roosme Hamzah.

Menerusi entri yang sama, Khairy dengan tegas meminta namanya tidak dikaitkan dalam sebarang rundingan 'pintu belakang' dalam proses transisi jawatan Perdana Menteri seperti yang rancak diperkatakan sejak kebelakangan ini.

"Saya tidak terlibat dan tidak berminat untuk melibatkan diri. Tanda tanya mengenai proses peralihan seharusnya diselesaikan sendiri oleh Pakatan (Harapan).

"Ia (proses peralihan) tidak ada kaitan dengan parti saya  atau saya sendiri. Saya hanya berminat untuk berdebat dan membincangkan polisi yang boleh membantu rakyat Malaysia yang kini berada dalam situasai buruk di bawah Pakatan," tegas Khairy lagi.

BACA: Anwar jumpa Tun M, bincang pendirian isu peralihan kuasa




Tag: Khairy Jamaluddin, surat palsu, usul peralihan jawatan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Dewan Rakyat, Parlimen



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.