Surat terbuka Tony Pua kepada MMC-Gamuda

Surat terbuka Tony Pua kepada MMC-Gamuda
Setiausaha Politik Menteri Kewangan Tony Pua memberi reaksi kepada isu MMC-Gamuda.
Oleh Tony Pua

Setiausaha Politik Menteri Kewangan
Ahli Parlimen Damansara

10 Okt 2018

Ke hadapan Lembaga Pengarah MMC-Gamuda,

Saya ucap tahniah untuk sebuah persembahan yang hebat sejak Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan keputusan Kabinet untuk

(i) menerima tawaran MMC-Gamuda untuk mengurangkan kos kerja-kerja atas tanah MRT2 sebanyak RM5.2 bilion, menjadikkannya RM17.4 bilion (pengurangan sebanyak 23%) dalam bentuk kontrak ‘turnkey’, dan

(ii) menamatkan kontrak kerja bawah tanah memandangkan kedua-dua pihak tidak dapat menemui kata sepakat berkenaan pengurangan harga.
Tetuan telah mengeluarkan surat mengisytiharkan tidak bersalah, mendakwa bahawa anda menanti tawaran daripada Kementerian Kewangan. Anda mempersoalkan kelayakan konsultan kejuruteraan bebas yang kami lantik. Anda mengandaikan bahawa keputusan penamatan dibuat secara tergesa-gesa dan tanpa pertimbangan yang sewajarnya. Anda cuba untuk meraih simpati, mendakwa tidak kurang 20,000 individu akan kehilangan kerja (wow!). Media sosial anda dengan aktif sekali mempromosi kempen ‘selamatkan 20,000 pekerjaan’ merayu rakyat Malaysia menyokong petisyen anda. Ada surat yang tular di Whatsapp daripada jurutera graduan kelas pertama yang menyesal mengundi Pakatan Harapan dalam pilihanraya lalu.

Prestasi dan mobilisasi kempen ini sangat mengkagumkan. Persoalan kos projek ini kepada pihak kerajaan langsung tidak dipedulikan.

Kami tidak mahu bertikam lidah dengan anda di mata umum. Biasanya itu dikhaskan hanya untuk lawan-lawan politik sahaja. Apatah lagi, kami ingin meneruskan hubungan kerja yang baik bagi menyiapkan kerja-kerja atas tanah bernilai RM17.42 bilion itu.

Namun, tindakan berani tuan-tuan untuk berlagak sebagai mangsa kerajaan ‘zalim’ Pakatan Harapan menuntut supaya suatu jawapan diberikan bagi membetulkan fakta dan rekod.

1. Kontrak asal projek bawah tanah diberikan pada nilai RM15.49 bilion. MRT Corp kemudian memberi tambahan RM1.2 bilion untuk ‘variation order’ yang menyebabkan kontrak yang disemak semula bernilai RM16.71 bilion.

2. Selepas beberapa mesyuarat dan perbincangan, anda menulis surat kepada pihak menteri pada 15 Ogos bagi menawarkan harga semak semula, RM15.1 bilion. Ini berikutan keputusan untuk tidak meneruskan pembinaan dua stesen bawah tanah Bandar Malaysia Utara dan Selatan.

3. Kemudian pada 7 September, anda menawarkan untuk mengurangkan lagi harga kontrak projek bawah tanah sehingga RM14.58 bilion (semua sekali RM32 bilion untuk keseluruhan projek MRT2). Ini bereti penjimatan kos sebanyak RM2.13 bilion atau pengurangan sebanyak 12.7%. Seperti yang disebut pengarah Gamuda dalam mesyuarat bersama menteri pada 4 September - “we offer what we can offer, but anything beyond that will be meaningless to continue”. (Kami tawarkan apa yang kami boleh tawarkan, lebih daripada itu tak ada makna untuk diteruskan)

4. Pun begitu, berdasarkan kajian konsultan kejuruteraan bebas, MRT Corp sepatutnya menjangka jumlah penjimatan antara RM4.19 hingga RM5.79 bilion bagi anggaran 60% projek yang belum siap. Ya, anggaran penjimatan ini baru untuk baki kerja yang belum siap. Bayangkan penjimatan untuk keseluruhan kontrak.

Jadi persoalan yang perlu difikirkan oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan ini sangat mudah sebenarnya.

A. Adakah kita akan kata, “Tak apa lah, kita terima sahaja pengurangan RM2.13 bilion yang ditawarkan MMC Gamuda”? Lagipun kita boleh ambil angka ini dan bercakap besar kepada rakyat Malaysia tentang ‘pencapaian’ kita yang hebat, kerana mereka pun bukan tahu yang kita mungkin boleh jimat sebanyak RM2 bilion lagi. Tambahan pula, kita pastinya boleh mengelak publisiti negatif dan proses tender antarabangsa baharu yang perlu dilaksanakan. Leceh dan banyak kerja. ATAU

B. Adakah kita akan menghormati mandat dan amanah yang telah diberikan rakyat dan memaksimakan penjimatan yang boleh kita perolehi daripada projek ini? RM2 bilion boleh digunakan untuk membangun 5 hospital, atau 50 buah sekolah. RM2 bilion adalah jumlah wang yang sangat besar di saat saya melihat rakan-rakan di Kementerian Kewangan berusaha untuk berjimat cermat mencari penjimatan RM50 juta di sini dan mengurangkan perbelanjaan RM80 juta di sana untuk Belanjawan akan datang.

Kabinet jelas sekali telah membuat keputusan untuk memilih B. Dan anda betul-betul mahu menyuruh rakyat Malaysia menyalahkan Kabinet kerana menamatkan kontrak ini?

Atau adakah kemudiannya anda akan memilih sasaran berbeza, seperti yang tersirat dalam kenyataan media anda, bahawa konsultan kejuruteraan bebas adalah tidak cukup layak - walaupun mempunyai 500 staf dengan rekod menyelesaikan 80 projek di 24 negara di luar Malaysia?

Atau adakah kerana konsultan lantikan kerajaan ini mendedahkan tentang pembohongan beterusan kononnya kos MRT1 dan MRT2 adalah jauh di bawah kos biasa pembinaan sistem metro di rantau Asia, kerana tiada sesiapa yang boleh mengesahkan data yang diberikan?

Adakah kami patut mempersoalkan kenapa MMC Gamuda pada mulanya bersetuju berkongsi data kos dengan jurutera konsultan untuk menjustifikasi kos, tetapi kemudian enggan berbuat demikian, kononnya ia ‘trade secret’?

Kepada graduan kejuruteraan kelas-pertama berusia 26 tahun itu, saya memahami pergolakan yang sedang anda hadapi dalam kehidupan hari ini dan ia langsung bukan salah anda. Tetapi, sekiranya Gamuda membuat keputusan untuk tidak mengekalkan khidmat anda, merekalah sebenarnya yang rugi, kerana anda akan boleh membina kerjaya yang turut cemerlang di banyak syarikat lain.

Kepada seramai 20,000 pekerja, seperti yang didakwa MMC, akan kehilangan pekerjaan mereka akibat penamatan kontrak, biar saya tekankan bahawa kerajaan Malaysia bukannya membatalkan projek tersebut. Anda akan menemukan banyak lagi peluang apabila projek baharu dijalankan pada kos yang lebih rendah, manakala penjimatan yang diperolehi bermakna lebih banyak projek akan dijalankan pada masa akan datang.

Tetapi mungkin, daripada memulakan petisyen di Change.org bagi mendesak kerajaan menarik balik keputusan membatalkan kontrak, adalah lebih bermanfaat untuk memulakan petisyen mendesak bos-bos anda di MMC Gamuda untuk memberi tawaran yang terbaik kepadaKerajaan Malaysia.

Terima kasih.



Tag: Tony Pua, MMC-Gamuda, Lim Guan Eng, lembaga pengarah, MRT2, turnkey

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.


* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen