Suri rumah didakwa bunuh anak di Felda Jengka 13

Suri rumah didakwa bunuh anak di Felda Jengka 13
Tertuduh, Asmani Mat, 31 tahun yang memakai tudung berwarna jingga kelihatan tenang mengangguk tanda faham setelah pertuduhan yang dibacakan terhadapnya. - Foto Bernama
TEMERLOH: Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh anak bongsunya, Muhammad Nur Rashdan Muhammad Rizal yang berusia 19 bulan di FELDA Jengka 13, Maran, Ahad lalu.

Tertuduh,  Asmani Mat, 31 tahun yang memakai tudung berwarna jingga kelihatan tenang mengangguk tanda faham setelah pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Ti Pei Si.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh anak lelakinya itu di kediaman mereka di FELDA Jengka 13, Bandar Pusat Jengka, Maran, Ahad lalu diantara jam 8.30 malam sehingga 9 malam.

BACA: Kelar anak: 'Suspek kerap termenung, dengar bisikan' - Suami
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mustafa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sehubungan itu, Pei Si membenarkan permohonan Siti Hajar supaya tertuduh dirujuk ke Hospital Permai, Johor Bahru, Johor selama satu bulan bagi tujuan pemantauan berikutan wanita itu dilihat mempunyai masalah mental seperti tidak fokus sebelum menetapkan 20 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Dalam pada itu, suami tertuduh, Muhammad Rizal Jusoh, 42, turut hadir bersama beberapa ahli keluarganya sempat menemui isterinya dan menenangkannya sebelum prosiding bermula.

Sebelum ini, media pernah melaporkan mengenai seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tujuh bulan maut selepas lehernya dikelar ibu kandungnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ACP Othman Nayan berkata suspek yang berusia 31 tahun itu dipercayai mengelar anaknya di bilik tidur rumahnya pada 8.40 malam kerana mengalami halusinasi.

"Kejadian disedari oleh bapa mangsa yang mendakwa telah menolak suspek apabila melihat dia mengelar leher mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dengan menggunakan pisau," katanya.