Seorang suri rumah kerugian RM58,000 selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai mahkamah yang mendakwanya mempunyai kes tunggakan kad kredit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa, 56, sebelum itu menerima panggilan daripada suspek pada Sabtu lalu kononnya ditugaskan untuk menyiasat tentang perkara itu.

"Bagaimanapun mangsa telah menafikan perkara itu, sebelum menerima panggilan kedua pada Isnin lepas daripada suspek sama yang memintanya untuk memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan bagi tujuan siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Mangsa yang terus terpedaya, katanya, telah memasukkan RM24,000 menerusi 10 kali transaksi ke dalam nombor akaun Public Bank yang diberikan oleh suspek.

Wanita itu kemudian memasukkan sejumlah RM34,000 lagi dalam akaun Hong Leong Bank, sebelum dihalang untuk melakukan transaksi seterusnya oleh seorang pegawai di RHB Bank yang curiga dengan jumlah pengeluaran yang besar.

Mangsa yang mula menyedari ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut petang Selasa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebat jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA