Seorang suri rumah berputih mata apabila kerugian hampir RM50,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa yang dihubungi sindiket itu mendakwa kononnya nama dan kad pengenalan mangsa digunakan untuk mendaftar kad 'master card' sebuah bank.

Katanya, mangsa diperdaya kononnya kad tersebut telah digunakan sebanyak RM7,000.

Mangsa, bagaimanapun, menafikan perkara itu sebelum panggilan telefon tersebut dialih kepada individu yang mengenalkan diri mereka sebagai anggota polis.

"Mangsa kemudiannya diminta untuk menyerahkan butiran akaun dan jumlah wang yang ada dalam akaunnya untuk tujuan siasatan mengenai penglibatan mangsa dalam mana-mana kes jenayah.

"Dia kemudiannya telah diminta ke sebuah bank di Port Dickson ini dan di sana mangsa telah diberikan tiga kod untuk dimasukkan dan mangsa hanya sedar ditipu apabila menerima resit pindahan wang berjumlah RM49,999.87 ke sebuah akaun yang tidak dikenali," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Aidi berkata, tiga kod yang diterima mangsa oleh sindiket itu ialah kod pertama untuk mengemas kini had pengeluaran, kod kedua untuk jumlah pindahan wang dan kod ketiga untuk nombor akaun penerima.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan penipuan Macau Scam.

Justeru, Aidi Sham menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan jangan sesekali mengikut arahan atau menghubungi semula nombor pemanggil sebaliknya hubungi nombor rasmi agensi seperti yang didakwa pihak sindiket.

Orang ramai juga diminta untuk melayari portal rasmi Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan maklumat dan nasihat berhubung modus operandi penipuan seperti ini, katanya. - BERNAMA