Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi bersiap siaga untuk memindahkan rakyat Malaysia jika keadaan memerlukan, susulan ketegangan yang semakin memuncak antara India dan Pakistan.

Misi Diplomatik Malaysia menasihati rakyat Malaysia agar mengelak melakukan perjalanan tidak perlu ke negeri Jammu dan Kashmir kerana jet pejuang tentera India dan Pakistan terlibat dalam pertempuran pada sebelah siang.

"Setiap orang digesa agar sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan memantau perkembangan menerusi laporan berita. Suruhanjaya Tinggi mempunyai SOP (prosedur operasi standard) untuk pemindahan, yang akan diaktifkan jika keadaan memerlukan," katanya.

Terdapat 80 keluarga rakyat Malaysia yang menetap di timur India, di mana beberapa lapangan terbang telah menunda penerbangan komersial pada Rabu.

"Mereka semua berada dalam keadaan baik-baik sahaja, berdasarkan situasi semasa.

"Setakat ini kami menasihati semua rakyat Malaysia agar mengelak melakukan perjalanan yang tidak perlu ke negeri Jammu dan Kashmir, kawasan yang bersempadan dengan Jammu dan Kashmir, serta kawasan di sepanjang sempadan India-Pakistan," kata Suruhanjaya Tinggi itu kepada Bernama.

BACA: Tangguh perjalanan ke India dan Pakistan - Wisma Putra

Dengan lebih 210 penerbangan mingguan, perjalanan atas sebab perniagaan dan libur antara India dan Malaysia adalah signifikan.

Beberapa lapangan terbang di utara India - Srinagar, Jammu Leh, Dehradun, Pathankot, Amritsar, Shimla, Kangra, Kullu Manail, Pithoragath - telah ditutup kepada pesawat awam pada sebelah siang, lapor media tempatan.

BACA: Konflik dua kuasa nuklear India-Pakistan

Sekatan itu kemudian telah ditarik balik dan penerbangan disambung semula, bagaimanapun "berdasarkan situasi semasa, penutupan sedemikian boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa India dari semasa ke semasa," menurut Suruhanjaya Tinggi.

BACA: Perang Pakistan-India: AirAsia pantau operasi di utara India

-- BERNAMA