Suspek pembunuhan kejam keluarga setiausaha tetap Wanita UMNO Bahagian Tangga Batu, Melaka direman tujuh hari bermula Jumaat.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 26 tahun itu yang juga anak angkat mangsa, dikeluarkan penolong pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek tiba di mahkamah pada 9.15 pagi dengan berpakaian lokap oren, berseluar hijau dan tangan bergari dengan diiringi dua anggota polis.

Pada Khamis, Mariah Baharin, 62 tahun dan suaminya Hassan A. Wahab, 70 tahun ditemui mati oleh penduduk kampung pada jam 6.30 pagi di dalam bilik berasingan di rumah mereka di Kampung Bertam Malim.

Sementara, mayat anaknya, Muhammad Taufeq Hassan, 22 tahun ditemui di ruang tamu rumah berkenaan.

Dua anak mangsa Noor Azlinda Dyana Hassan, 24 tahun dan Nuraqedah Aiena Hassan, 26 ditemui dengan kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan.

Polis kemudiannya berjaya menahan suspek pada jam 11 pagi, 10 kilometer dari lokasi kejadian bagi membantu siasatan.