Polis Kedah telah berjaya menangkap seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian bunuh dan samun seorang wanita warga emas di Taman Malaysia di sini pada 26 Februari lalu.

Suspek berjaya ditahan di sekitar lokasi kejadian sebaik polis melakukan siasatan terhadap jiran mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Supt Yazri Ismail berkata, polis kini sedang menyelesaikan soalsiasat ke atas suspek bagi mengenalpasti beberapa kronologi kejadian serta senjata yang digunakan.

"Malam itu, selepas OCCI (Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri) buat kenyataan media di rumah itu, kami telah melakukan tangkapan berdekatan sekitar kawasan itu," katanya kepada media.

Suspek kini direman sehingga 6 Mac untuk membantu siasatan.

BACA: Wanita warga emas mati dijerut tuala sebelum disamun

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang 26 Feb lalu, mangsa Kau Fu Eng, 71, ditemui mati dalam keadaan terbaring di dalam bilik di bahagian tengah rumah oleh anaknya.

Ketika ditemui, leher mangsa dijerut dengan tali pinggang dan tuala, sementara di bahagian belakang dan depan kepalanya berdarah.

Dalam kejadian itu, sejumlah barang kemas bernilai lebih RM10,000, sebuah tablet dan beberapa utas jam tangan telah hilang, dipercayai dilarikan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.