Lelaki warga Singapura yang dipercayai terlibat dengan kes pembunuhan, susulan penemuan lapan bahagian anggota badan manusia yang dibuang ke dalam semak di kawasan perindustrian Krubong berhampiran Kampung Ladang, Ayer Keroh, di sini petang Khamis lalu direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman sehingga Jumaat depan dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Melaka, Syarina Shaarani @ Tan.

Perintah reman itu bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suspek yang dalam keadaan lemah dan memakai pakaian lokap ungu dibawa ke pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka sekitar 10.10 pagi tadi sebelum dibawa keluar 45 minit kemudian.


Media sosial semalam tular mengenai satu laporan pembunuhan seorang wanita berusia 27 tahun dan anak lelakinya berusia 11 tahun yang dipercayai dibunuh oleh suaminya sendiri yang merupakan warga Singapura.


Pembunuhan itu dikaitkan dengan mayat individu dipercayai lebih daripada seorang yang menjadi mangsa bunuh apabila bahagian tubuh ditemui berselerakan sekurang-kurangnya lapan bahagian di kawasan semak Kampung Ladang, Krubong, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim dalam kenyataannya pada Jumaat mengesahkan, polis menahan seorang lelaki warga Singapura dipercayai terlibat dengan kes pembunuhan berkenaan.

Suspek yang dipercayai ada kaitan dengan mangsa itu ditahan dengan kerjasama pihak polis dari Singapura.

Bagaimanapun identiti mangsa masih belum dikenal pasti sehingga selepas proses bedah siasat ekoran beberapa bahagian tubuh badan masih belum ditemui.

BACA: Tragis! Anggota badan dipercayai milik ibu dan anak ditemui