Seorang lelaki warga Indonesia ditangkap pagi ini, dipercayai terlibat dalam satu tragedi berdarah awal hari ini yang menyaksikan seorang buruh maut manakala isterinya cedera akibat ditetak.

Menurut Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah, suspek yang berusia 29 tahun itu ditahan sekitar jam 9 pagi, kira-kira enam jam selepas kejadian yang berlaku di ladang kelapa sawit di Kampung Beril Paka di sini.

"Pagi tadi kita telah dapat mengesan suspek, yang telah bersembunyi di belakang tempat kejadian, iaitu rumah kongsi tersebut.

"Dia ditangkap lebih kurang 20 hingga 30 meter di belakang kawasan rumah tersebut," katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, di sini, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek dan mangsa Mohd Zukanain Abd Aziz, 39 tahun, merupakan sahabat sejak empat tahun lalu.

Baharudin berkata, suspek yang dikenali sebagai Joko juga telah bertindak menetak isteri mangsa yang berusia 34 tahun, sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian jari.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi tadi, seorang buruh ladang maut selepas ditetak rakannya dalam kejadian yang berlaku di ladang sawit Kampung Beril Paka.

Kejadian menyebabkan mangsa maut akibat kecederaan, kesan ditetak di bahagian leher.