Hanya kerana tidak berpuas hati hon dibunyikan terhadapnya, seorang lelaki bertindak memecahkan cermin hadapan sebuah kereta yang dipandu seorang wanita di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, Selasa lepas.

Suspek yang berusia 30an dan bekerja sebagai pembantu stor telah pun ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, pada pukul 3 petang, Khamis.

Menurut Ketua Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, suspek ditahan di tempat kerjanya sebuah kilang di Balakong.

"Polis turut merampas sebuah motosikal dan sebuah helmet yang digunakan semasa kejadian, reman akan dipohon di bawah Seksyen 117 di Mahkamah Petaling Jaya," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video berdurasi 3 minit dirakam mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 22 memandu kereta Perodua Axia.

Dalam rakaman itu, dua lelaki dirakam menunggang dua motosikal sambil berbual di depan kenderaan dipandu mangsa pada jam 5.50 petang.

Mangsa kemudian memotong kedua-dua motosikal terbabit dan dipercayai membunyikan hon.

Tidak berpuas hati dengan insiden itu, kedua-dua motosikal kemudian dilihat berhenti secara mengejut di depan kereta mangsa menyebabkan kenderaan jenis Perodua itu terpaksa dihentikan serta-merta.

Rakaman video turut menunjukkan kereta milik mangsa terlanggar sedikit bahagian belakang motosikal yang berhenti mengejut itu sebelum seorang penunggang motosikal meluru ke arahnya.

Lelaki terbabit kemudian menghentak cermin kenderaan mangsa dengan topi keledar dan terus ke arah cermin di bahagian sebelah pemandu.