Salah seorang daripada individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun kedai dobi dan kedai runcit 24 jam di Bandar Puteri Jaya dan Taman Ria, Sungai Petani, kelmarin ditahan polis selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, petang tadi.

Penahanan suspek disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid.

Suspek berusia 21 tahun dari Nibong Tebal yang dipercayai memegang parang dalam kejadian itu ditahan pada 1.30 tengah hari tadi.

Jelas Mior, ibu suspek yang merayu agar anaknya menyerah diri telah membawa suspek ke IPD Kuala Muda untuk tindakan susulan pihak polis dan berdasarkan siasatan awal dan suspek mengaku terbabit dalam kejadian samun berkenaan.


Dalam masa sama isteri suspek berusia 30-an turut ditahan untuk membantu siasatan kerana isteri suspek berada sekali dalam kereta ketika suspek menyamun mangsa dan kedua-dua mereka akan direman esok.

Polis kini sedang berusaha memburu seorang lagi rakan suspek yang dipercayai sama-sama terlibat.

“Ahli keluarga mereka pun kita telah kenal pasti siapa dan ibu pada salah seorang suspek telah menyeru pada anak dia untuk menyerah diri pada pihak polis,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, siang tadi.


Hasil siasatan polis, tiga premis disamun suspek kerana terdapat sebuah lagi kedai runcit 24 jam di kawasan sama menjadi sasaran kedua-dua suspek selepas dua kejadian samun sebelum itu..

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan senjata..

Dalam kejadian pada 11 September lalu, dua lelaki bersenjatakan parang menyamun kedai dobi dan kedai runcit 24 jam dalam tempoh 15 minit di Bandar Puteri Jaya dan Taman Ria, Sungai Petani menyebabkan kerugian RM14,500.