Seorang lelaki yang mengamuk dan menampar seorang pemandu wanita Khamis lalu ditahan polis.

Dalam kejadian jam 4 petang di Jalan Datuk Keramat, di sini, pemandu wanita itu dikasari dipercayai kerana tidak memberikan isyarat membelok ketika masuk simpang.

Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff, suspek ditahan kira-kira pada jam 10 malam pada hari kejadian, di Kampung Datuk Keramat.

"Pada 2 Mei, sepasukan polis pergi ke alamat di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur dan menahan lelaki berusia 37 tahun itu.

"Ujian air kencing terhadap lelaki itu didapati negatif. Siasatan masih dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, lelaki terbabit kini direman empat hari sehingga Selasa depan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan suspek yang menunggang motosikal jenis Honda Dash datang dari arah belakang kereta jenis Honda Civic dipandu wanita itu.

Suspek memaki dan mengeluarkan kata kesat kepada pengadu dengan menuduh wanita tersebut tidak menggunakan isyarat ketika masuk simpang.

Seterusnya, suspek membuka helmetnya lalu menghentak atas bumbung kereta pengadu sebelum bertindak agresif menumbuk kepala serta menampar muka wanita itu setelah dia keluar dari kenderaan untuk melihat keadaan keretanya.

Mangsa dibantu orang awam yang berada di tempat kejadian dan kemudiannya telah membuat laporan polis.

Kejadian itu sempat dirakam oleh seorang pengguna jalan raya lain.