Syarikat atau agensi insurans disaran menilai semula keadaan semasa di mana tiada insurans khusus ditawarkan bagi memberi perlindungan kepada anak-anak yang mengalami Sindrom Down.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, perkara ini perlu demi menjamin masa depan anak-anak tersebut yang termasuk dalam kategori Orang Kelainan Upaya (OKU).

Bagaimanapun, katanya, pada masa sama, kementeriannya sentiasa berusaha mengadakan perbincangan dan rundingan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyelesaikan isu terbabit.

BACA: Kaji semula insurans untuk anak-anak Sindrom Down

"Memang tidak ada insurans khusus untuk Sindrom Down, tetapi kami ada insurans am untuk OKU secara keseluruhan. OKU ada pelbagai, tetapi khusus untuk Sindrom Down, buat masa ini tidak ada.

"Kami mengadakan beberapa siri perbincangan dengan BNM untuk kita dapatkan yang terbaik untuk OKU secara keseluruhannya," katanya kepada Astro AWANI ketika diminta mengulas kes Norhana Abu Bakar, ibu kepada seorang anak Sindrom Down yang kini berusia 21 tahun.

Norhana, yang turut menjadi sukarelawan di Persatuan Sindrom Down Malaysia berkata, statistik serta data berkaitan mereka yang mengalami Sindrown Down perlu diambil maklum dan tidak dipandang remeh.

Mengulas lanjut, Rohani berkata, syarikat insurans mempunyai alasan tersendiri mengapa mereka masih belum menyediakan perlindungan untuk anak Sindrom Down.

"Tetapi, saya rasa sangat pasti, syarikat ini memerlukan data dahulu," katanya, sambil menambah, rekod kementeriannya menunjukkan majoriti anak-anak OKU adalah dari kalangan 'slow learners' atau yang mengalami Masalah Pembelajaran.

Menyeru syarikat atau agensi insurans mengambil perhatian mengenai perkara ini, Rohani berkata: "Saya mengalu-alukan lebih banyak syarikat insurans untuk tampil (memberi) perlindungan yang sangat-sangat diperlukan ini."