Badan Bukan Kerajaan (NGO) digesa untuk meningkatkan pemberian bantuan terutamanya akses kepada kesihatan buat masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman seluruh negara.

Ini bagi membantu mengurangkan beban Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang meliputi semua kawasan pedalaman orang asli.

Menurut Ahli Jawatankuasa Eksekutif IMARET, Dr Ahmad Yusof Yahaya apabila kerjasama terjalin antara KKM dan NGO yang mahu menghulurkan bantuan kepada Orang Asli, ini mampu mengurangkan masalah kesihatan yang dihadapi masyarakat itu.

“Sebagai contoh apabila NGO membantu, koordinasi dapat dilakukan dengan KKM ke penempatan Orang Asli, minggu ini KKM pergi ke pos lain minggu depan pula NGO akan pergi ke pos lain.

“Kita dapat menambah jumlah kekerapan kunjungan ke kawasan Orang Asli sekaligus membantu KKM menangani isu bekalan dan kakitangan yang terhad,” katanya ketika menjadi tetamu pada program AWANI Pagi, pada Ahad.


Beliau berkata demikian ketika ditanya cadangan untuk mengelakkan penularan wabak penyakit di kawasan penempatan Orang Asli seperti demam campak yang berlaku pada Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Yusof berkata Orang Asli sebenarnya gembira dan selesa dengan kehidupan mereka ketika ini namun terdapat keperluan untuk memerdekakan minda mereka.

“Bila kita (NGO) masuk memberikan perkhidmatan pendidikan kesihatan kita hendak mereka tahu bahawa mereka juga mempunyai hak seperti orang di luar sana," katanya.



Sementara itu, Dr Ahmad Yusof juga berkata terdapat keperluan untuk meningkatkan tahap kesedaran mengenai pendidikan dan penjagaan kesihatan kepada masyarakat Orang Asli.

“Ini penting kerana sekiranya terjadi penyakit demam biasa, mereka mengetahui perkara asas untuk dilakukan terlebih dahulu daripada meredah hutan selama tiga hingga empat jam untuk mencari doktor.

“Ini juga dapat menjadikan Orang Asli lebih berdikari dalam aspek kesihatan dan keperluan harian mereka,” jelas beliau.

Sementara itu, Naib Presiden MyLandy, Muhamad Zamzuri Abu Bakar berkata, terdapat banyak kekangan dalam usaha mereka membawa bantuan kepada masyarakat Orang Asli di Semenanjung.

“Kekurangan modal dan dana sehingga kadang-kala terpaksa mengeluarkan wang kami sendiri adalah perkara biasa, tetapi yang penting masyarakat, NGO dan syarikat korporat dapat membantu kami menggerakkan usaha ini,” jelas beliau.