Syarikat Palestin, Palolea berjaya dinobatkan tempat pertama bagi kategori Produk Makanan dan Minuman (F&B) Paling Inovatif dengan produk Paloleaf di majlis anugerah Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019 pada Jumaat.

Produk tersebut merupakan tablet ekstrak daun zaitun yang membantu mengurangkan tahap gula kumulatif dengan merangsang pankreas untuk menghasilkan insulin, sesuai bagi mereka yang menghidap diabetes.

Pemilik syarikat Palolea, Hitham Kayali berkata bahawa diabetes adalah isu yang besar dan memberi kesan negatif kepada berjuta-juta orang seluruh dunia.

“Kami ingin membantu penghidap diabetes dan mengembangkan produk yang bukan sahaja dapat membantu orang yang mempunyai penyakit diabetes tetapi juga mereka yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan kardiovaskular,” kata beliau.

Kesan sebiji tablet Paloleaf adalah bersamaan dengan setengah liter minyak zaitun.

Sementara itu, produk syarikat Thailand Star Herb Pharma Co. Ltd., Prikka Spicy Coffee telah dinobatkan tempat kedua bagi kategori yang sama dengan kopi berinovasi mereka.

Prikka Spicy Coffee adalah kopi segera 3 dalam 1 yang mempunyai ekstrak cili dan tiada gula ditambah.

Menurut pemilik syarikat itu, Sasima Arjsongkram, mereka telah membuat kajian dan mendapati bahawa kopi pedas dari segi komersial 3 dalam 1 tidak pernah wujud sebelum ini.

“Thailand adalah sebuah negara pertanian. Kita mempunyai banyak buah-buahan dan sayur-sayuran dan kepedasan harus datang dari cili dan Thailand mempunyai pelbagai spesis cili.

“Selepas melakukan kajian atas beberapa jenis cili, kita dapati bahawa cili Thai Bird's Eye memberikan kita rasa yang terbaik,” ujarnya.

Anugerah MIHAS diadakan untuk memberi penghormatan kepada peserta pameran tempatan dan antarabangsa di MIHAS untuk reka bentuk gerai pameran paling kreatif serta produk dan perkhidmatan paling inovatif.

Kategori-kategori anugerah yang lain bagi majlis itu adalah Reka Bentuk Gerai Pameran Malaysia Terbaik, Reka Bentuk Pameran Antarabangsa Terbaik, Pavilion Negara Terbaik, Produk Bukan Makanan Paling Inovatif, dan Perkhidmatan Inovatif Terbaik.