Syarikat penerbangan diminta menyelaraskan harga tiket ke paras normal khususnya untuk pelajar serta guru sekolah dan Institut Pengajian Tinggi yang akan menyambung semula sesi pengajian.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kumpulan itu juga perlu diberikan harga tiket penerbangan yang istimewa oleh syarikat penerbangan.

Tegasnya, tiada alasan untuk syarikat penerbangan tidak mengurangkan harga tiket berkenaan memandangkan kerajaan sudah membenarkan pesawat beroperasi dengan kapasiti penuh.

"Oleh itu, mesyuarat berpendapat bahawa harga tiket perlu kembali ke asal sebelum PKP dilaksanakan sebab tiada alasan lagi sebab kurang kapasiti sebab kita kurangkan kapasiti penuh. Jadi kita harap Suruhanjaya Penerbangan Malaysia berbincang dengan syarikat penerbangan supaya kembalikan tiket kepada asal.

"Kita juga meminta Suruhanjaya bincang dengan syarikat penerbangan supaya memberi harga tiket istimewa kepada pelajar, guru, dan pelajar-pelajar IPT sebab sekolah akan dibuka," katanya dalam sidang media PKPP di sini pada Jumaat.

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri pada pagi tadi itu juga menekankan isu berkenaan memandangkan banyak laporan berhubung rungutan orang ramai mengenai kenaikan harga tiket penerbangan terutama dari Sabah dan Sarawak.

"Kita difahamkan IPT akan dibuka jadi akan libat banyak pelajar. Ia akan melibatkan mereka di Semenanjung dan Sabah dan Sarawak yang akan pulang ke universiti masing-masing. Jadi kena ada satu harga istimewa kepada pelajar yang akan mulakan pengajian," ujarnya lagi.

Justeru katanya, Kementerian Pengangkutan telah diminta mengadakan sesi libat urus bersama syarikat penerbangan bagi mencari jalan penyelesaian berkenaan.