Mana-mana syarikat yang menyokong perhimpunan haram bagi menggulingkan kerajaan akan disenaraihitamkan serta-merta daripada mendapat kontrak kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Katanya beliau akan mengarahkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) untuk menyemak latar belakang syarikat yang memohon kontrak kerajaan melalui mereka.

"Masa untuk berlembut dan toleransi sudah berakhir. Syarikat yang membantu gerakan menggugat keselamatan ekonomi negara akan saya pulau(kan)," kata Abdul Rahman, yang bertanggungjawab ke atas EPU, dalam kenyataannya hari ini.

Beliau juga bersetuju dengan pandangan 'Awang Selamat' menerusi ruangan pojok di Mingguan Malaysia hari ini supaya syarikat berkenaan disenaraihitamkan.

"Awang Selamat menulis mengenai ada syarikat-syarikat yang menaja perhimpunan haram Bersih dengan tujuan menggulingkan kerajaan tetapi pada masa sama syarikat ini mendapat kontrak kerajaan. Saya bersetuju dengan pandangan beliau bahawa syarikat berkenaan perlu disenaraihitamkan," katanya.

Abdul Rahman, yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, percaya banyak lagi syarikat lain yang mampu memberikan terma setanding atau lebih baik kepada kerajaan jika diberi peluang mendapat kontrak. -- BERNAMA