Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercadang membawa usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun pada sesi Parlimen Mac ini.

"Saya sasarkannya (bawa usul) pada sidang parlimen sesi ini dan sekarang kami tengah berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk pindaan perlembagaan itu," katanya kepada pemberita selepas sesi townhall Parlimen Belia Malaysia (PBM) di Akademi Kenegaraan, di sini, pada Selasa.

Syed Saddiq berkata perbincangan telah diadakan dengan pelbagai pihak termasuk wakil parti-parti politik.

"Kami telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS, UMNO dan lain-lain dan mereka juga telah mencapai konsensus dalam isu ini.

Pada masa ini, had umur layak mengundi ialah 21 tahun.

Pada 19 Sept lepas, mesyuarat jemaah menteri bersetuju dengan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan itu.

Dalam pada itu, Syed Saddiq yang juga anggota Parlimen Muar berkata Kementerian Belia dan Sukan akan mengusulkan penurunan umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

"Kalau mengikut Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia, had umur belia ialah 40 tahun ke bawah... sebab itu saya akan bentangkan dalam sidang Parlimen kali ini atau akan datang untuk turunkannya kepada 30 tahun.

"Ini adalah perkara mustahak kerana di negara-negara lain had piawaian umur belia ialah 28 tahun ke bawah tetapi kita pula masih tersekat pada umur 40 tahun," katanya.

-- BERNAMA