Susulan insiden kemalangan yang melibatkan pemain badminton di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) pagi ini, mangsa kemalangan kini ditempatkan di Hospital Putrajaya untuk rawatan susulan.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menziarah mangsa di hospital itu kira-kira pukul 10 pagi ini bagi melihat situasi dan memberi bantuan kepada semua yang terlibat.

"Doakan semua mangsa mendapat rawatan dan kesihatan yang baik-baik," katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Terdahulu, empat termasuk pemain nombor satu dunia Kento Momota dilaporkan cedera akibat terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan lori di Km13.7 Lebuhraya MEX kira-kira jam 4.40 pagi ini.

Pemandu van tersebut, Bavan a/l Nageswarau, meninggal dunia di tempat kejadian.

Selain Momota, mereka yang cedera adalah pegawai sukan Hirayama Yu, Morimoto Arkifuki dan William Thomas.

Mereka sedang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Semalam, Momota daripada Jepun muncul juara perseorangan lelaki Malaysia Masters 2020 selepas menewaskan Viktor Axelsen daripada Denmark di Axiata Arena, di Kuala Lumpur.