ANTARA 126 individu yang tersenarai sebagai Pemimpin Belia Global atau ‘Young Global Leaders’ diiktiraf oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), tiga anak Malaysia melakar sejarah mewakili tanah air dalam senarai itu bagi kelas 2019.

Tiga individu itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin serta Pengerusi Ahli Lembaga Tadbir Amnesty International Malaysia Anjhula Mya Singh Bais.

Mereka mewakili tiga daripada sembilan individu dari negara ASEAN dalam senarai itu yang dikeluarkan setiap tahun bagi mempamerkan pelbagai pemimpin belia dalam bidang perniagaan, politik, seni, teknologi, sukan dan kerja-kerja sosial dari seluruh dunia.

Antara individu terkemuka yang turut disenaraikan ialah Presiden Costa Rica, Carlos Alvarado Quesada yang terkenal dengan usahanya mentransformasikan negara itu sebagai negara ‘tiada karbon’ pertama di dunia.

Selain itu, turut tersenarai ialah Juan Guaidó Márquez yang tabah menghadapi kontroversi sebagai presiden sementara untuk mewakili rakyat Venezuela yang kian lama menghadapi krisis politik dan ekonomi.

Kesemua mereka menyertai alumni Young Global Leaders tersohor seperti Amal Clooney yang juga peguam hak asasi manusia terkemuka dan isteri kepada George Clooney; Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Adern; dan pengasas Google, Larry Page.

Berikutan pelancaran senarai ini, ahli kelas terbaharu itu akan memulakan program selama lima tahun bagi mempelajari cara-cara inovasi untuk meninggalkan impak yang lebih kuat serta positif untuk kebaikan seluruh dunia.