Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) yang dikendalikan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di negeri ini tidak akan ditutup sebaliknya akan diperkasakan demi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat terutama di kawasan luar bandar.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata dakwaan kononnya Tabika Kemas akan ditutup selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan adalah tidak benar dan meminta masyarakat agar tidak mempercayai dakwaan tersebut.

"Saya tak tau dari mana datangnya dakwaan kononnya (dengan) kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) Kedah ni, maka Kemas akan ditutup jadi ini satu fitnah yang terlampau besar.

"Saya dah beri jaminan bahawa semua agensi-agensi kerajaan Persekutuan walaupun ditubuhkan zaman Barisan Nasional (BN) dulu yang memberi manfaat kepada rakyat kita akan diteruskan malah ia akan diperkasakan lagi," katanya kepada pemberita pada Majlis Kenduri Rakyat dan Kesyukuran Parlimen Jerlun di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas Jerlun dekat sini hari ini.

Sehubungan itu, Mukhriz berkata kakitangan tabika Kemas itu juga tidak akan diberhentikan dan boleh menjalankan tugas seperti biasa.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata kerajaan negeri baharu di bawah pimpinan PH terus komited untuk meneruskan dasar yang memberi perhatian sepenuhnya kepada pusat tahfiz di negeri ini seperti mana pernah dilakukannya ketika menjadi Menteri Besar daripada BN sebelum ini.

"Zaman saya MB (Menteri Besar) dulu pun saya banyak membantu pondok-pondok dan maahad tahfiz di Kedah ini, jadi sekarang ni pun saya akan teruskan dasar tersebut," katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga akan mengkaji semula sistem perkhidmatan di peringkat kampung termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya setiap permasalahan rakyat dapat diambil perhatian pihak kerajaan dengan lebih cekap dan berkesan.

Terdahulu, dalam ucapannya Mukhriz mengajak rakyat tanpa mengira fahaman politik kembali bersatu hati dalam memajukan Kedah agar setanding dengan negeri-negeri maju lain.

"Saya juga telah meminta kepada kerajaan Pusat untuk memberi keistimewaan kepada Kedah dan mereka sudah berjanji dan saya akan tuntut janji itu, saya juga meminta kepada PAS dan BN biarlah kita berurusan penuh berhemah agar sama-sama kita bangunkan negeri ini," katanya.

-- BERNAMA