Tabung COVID-19 telah mengumpul dana kira-kira RM125,000 sejak dilancarkan pada 11 Mac lalu sehingga hari ini (Jumaat).

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Mohamed Zahari Razali, jumlah berkenaan adalah yang telah diterima NADMA dan telah disahkan.

"Terdapat beberapa lagi dana sumbangan yang telah diterima daripada beberapa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), individu dan pihak tertentu, jumlahnya akan ditentukan dari semasa ke semasa dan diketahui kemudian.

"NADMA mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menyumbang untuk membantu kerajaan meringankan beban rakyat yang terkesan dengan COVID-19 kerana tidak dapat bekerja susulan menjalani kuarantin dan rawatan," katanya kepada Astro AWANI, pada Jumaat.

Pada 11 Mac lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata wang ihsan melalui Tabung COVID-19 sebanyak RM100 sehari akan diberi kepada individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau tiada gaji sepanjang tempoh dikuarantin.

Beliau berkata, ia membabitkan mereka yang dikuarantin selama 14 hari atau menerima rawatan di hospital berikutan disahkan positif COVID-19 bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bagaimanapun, mereka yang mempunyai pendapatan tetap seperti kakitangan kerajaan, tidak layak menerima sumbangan ihsan daripada tabung berkenaan," jelasnya.